
HARI ini dalam Dewan Rakyat menjawab pertanyaan mengenai langkah kerajaan bagi membendung kesan tidak langsung konflik Rusia-Ukraine terhadap Malaysia, implikasinya terhadap dagangan Malaysia dengan negara-negara lain, serta bekalan import makanan yang terjejas akibat konflik tersebut.
Sebagai negara berdaulat, Malaysia kekal dengan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana negara, supaya Malaysia tidak ditarik ke kancah geopolitik dunia. Pada masa yang sama, Malaysia tidak bersetuju dengan pencerobohan ke atas mana-mana negara yang merdeka.
Malaysia tidak terkecuali daripada gangguan rantaian bekalan sektor perdagangan dunia. Sejak tercetusnya konflik, eksport antara Malaysia dengan Rusia dan Ukraine merekodkan penurunan, tetapi hanya memberikan kesan minimal kepada prestasi keseluruhan sektor eksport Malaysia.
Sumber import terbesar Malaysia daripada Rusia ialah petroleum dan arang batu manakala Malaysia mengimport gandum, bijirin dan minyak bunga matahari daripada Ukraine.
Malaysia menyumbang sebanyak 13 peratus kepada sektor pengujian dan pembungkusan cip dunia dan ternyata, industri cip tempatan terkesan akibat konflik ini kerana Rusia dan Ukraine merupakan pengeluar bagi ‘neon’ dan ‘palladium’, bahan utama dalam pembuatan semi-konduktor.
Kerajaan melalui MITI secara berterusan melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan kesan sporadik ke atas ekonomi negara, antaranya menggalakkan penerokaan pasaran baharu serta industri tempatan untuk mempelbagaikan produk pengganti eksport.
Perdagangan antara Malaysia – Rusia berjumlah RM8.781 bilion dan antara Ukraine ialah RM1.461 bilion. Jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM10.242 bilion, iaitu 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan global Malaysia.
YB DATO’ SRI SAIFUDDIN ABDULLAH
Menteri Luar Negeri – HARAKAHDAILY 18/7/2022











