
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Kerajaan perlu lebih komited dalam mencari kaedah terbaik bagi menangani kadar pengangguran dan kekosongan pekerjaan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapha Mohamed berkata, sehingga Mei lalu, Malaysia mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 3.9 peratus membabitkan lebih 636,700 penganggur.
Malah katanya, sehingga 8 Julai lalu, sebanyak 471,839 kekosongan pekerjaan telah direkodkan melalui portal MYFUTUREJOBS antaranya membabitkan sektor pembuatan, pembinaan dan perhotelan.
Namun beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai data terperinci berkaitan penganggur terbabit untuk dipadankan dengan kekosongan pekerjaan di negara ini.
“Pada bulan Mei sebanyak 3.9 peratus iaitu 636,700 orang mengganggur, namun menjadi masalah kita tidak tahu siapa dan di mana mereka tinggal.
“Bagaimanapun, jumlah tersebut adalah menurun berbanding Mei 2020 yang mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 5.3 peratus,” katanya pada sidang media sempena Seminar Pasaran Buruh Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Analisa Pekerjaan Sip Perkeso, Ummar Jai Kumar Abdullah dan Pengarah Perkeso Negeri, Nora Yaakob.
Mengulas lanjut katanya, program outreach terbabit bertujuan mencari profil lengkap pencari kerja selain melihat faktor jurang pekerjaan dalam kalangan pencari kerja dan menggalakkan fungsi Myfuture Job yang perlu menjadi mekanisme kepada golongan itu.
“Oleh itu, dengan adanya data yang lengkap ini kita boleh adakan usaha-usaha untuk memadankan pencarian kerja dengan kekosongan pekerjaan dan ini adalah satu usaha yang penting kerana isu pengangguran ini adalah satu masalah bagi negara-negara lain pun.
“Kita juga mahu mengenal pasti majikan bagi padanan pekerjaan yang sesuai dengan profail pencari,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Kelantan menjadi perintis program itu sebelum diperluaskan ke negeri lain di seluruh negara.
Katanya, sepanjang tempoh dua bulan program outreach dilaksanakan bermula Mac lalu kini lebih 4,000 maklum balas sudah diterima. – HARAKAHDAILY 17/7/2022











