
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Permata Al-Quran Perlis mengedar lebih 300 kilogram daging kepada 14 sekolah tahfiz di seluruh negeri itu dan penduduk tempatan sempena program ibadat korban.
Pengerusinya Muhammad Rohim Kamis berkata, ibadah korban yang dilakukan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat, malah dapat merasai kesusahan dihadapi golongan asnaf.
Katanya program korban tersebut diadakan di Maahad Tahfiz Al-Hikmah di mana proses penyembelihan diadakan secara gotong-royong bermula jam 7.30 pagi.
“Petugas terdiri daripada staf Maahad Tahfiz, pelajar dan penduduk tempatan. Alhamdulillah tahun ini kita mengorbankan seekor lembu sado seberat satu tan,” katanya pada program berkenaan semalam.
Menurut beliau juga daging akan diagih kepada mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah. – HARAKAHDAILY 14/7/2022











