RTSMS bantu tangani isu-isu kritikal risiko lalu lintas jalan raya

- Advertisement -

KITA dikejutkan lagi dengan peristiwa kemalangan nahas yang membabitkan kenderaan berat seperti lori dan treler. Terbaru empat sekeluarga maut dalam perjalanan untuk menghantar anak yang baru mendapat kerja di Kuala Lumpur. 

Statistik juga menunjukkan sekitar 1.35 juta orang terbunuh dan 20 hingga 50 juta tercedera seluruh dunia akibat kemalangan di jalan raya setiap tahun. Di Malaysia statistik kemalangan jalan raya menunjukkan sekitar 17 hingga 20 orang maut direkodkan setiap hari.

Persoalannya bagaimana untuk mengurus risiko di jalan raya? Secara asasnya setiap risiko mempunyai kaedah dan sistem bagi mengawalnya. 

Jika kita bercakap berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), kita senantiasa akan merujuk kepada sistem pengurusan ISO 45001. Manakala perancangan untuk mengurus risiko alam sekitar, kebanyakannya pula akan merujuk kepada sistem pengurusan ISO 14001.

Bagaimanapun untuk risiko lalu lintas di jalan raya, tidak ramai industri dan pengamal KKP sedar akan kewujudan ‘Road Traffic Safety Management System (RTSMS)’ iaitu sistem ISO 39001. Sistem pengurusan ini dibangunkan untuk membantu menangani isu-isu kritikal risiko lalu lintas jalan raya yang menjadi perhatian global.

Walaupun RTSMS ini bersifat sukarela untuk pemakaiannya, namun kaedah dan sistem ini sangat baik untuk diguna bagi mengurus risiko lalu lintas jalan raya terutama melibatkan kenderaan-kenderaan komersial seperti lori, treler, bas dan teksi. 

Oleh itu bagi menjayakan sistem pengurusan keselamatan lalu lintas jalan raya ini ia memerlukan sokongan pelbagai pihak terutama pengusaha, pemandu serta agensi penguatkuasaan seperti Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan. 

Di samping adanya undang-undang jalan raya seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987, diharapnya RTSMS adalah sebagai ‘perkakas’ bagi membantu pematuhan perundangan!

TS. HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal 
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -