Perdagangan pertanian Malaysia-Saudi meningkat 18 peratus

- Advertisement -

MENERIMA kunjungan hormat Tuan Yang Terutama Abdulrahman Abdulmohsen A. AlFadley, Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Saudi Arabia bersama delegasi ke MAFI dan diikuti dengan kunjungan hormat serta perjumpaan bersama YAB Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri. 

MAFI mengalu-alukan lawatan Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan (G2G) turut dibincang untuk mengukuhkan agenda sekuriti makanan negara serta menjalinkan hubungan rapat bagi meningkatkan pelaburan asing ke Malaysia. Kerjasama perdagangan dan pelaburan dalam sektor pertanian dan agromakanan merupakan antara komponen penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Kerjasama strategik antarabangsa berteraskan diplomasi makanan secara bilateral serta prospek pelaburan dan pelaburan berbalik (reverse investment) merupakan antara pendekatan penting dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti dalam menjamin sekuriti makanan.

Dalam perjumpaan bersama YAB Perdana Menteri, telah dipersetujui Malaysia dan Arab Saudi untuk bekerjasama dalam kerangka kerja sekuriti makanan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama bagi melihat serta merangka dasar berkaitan sekuriti makanan termasuk mengenalpasti peluang pelaburan dalam sektor pertanian dan agromakanan di kedua-dua buah negara. 

Bagi tahun 2021, perdagangan sektor pertanian antara Malaysia dan Arab Saudi merekodkan peningkatan sebanyak 18 peratus iaitu berjumlah RM2.52 bilion berbanding sebanyak RM2.07 bilion pada tahun 2020.

Jumlah dagangan sebanyak RM17.56 bilion pada tahun 2021 dapat ditingkatkan lagi sejajar dengan pembukaan peluang ekonomi pasca-pandemik. Saya percaya bahawa peluang ini juga dapat membantu kedua-dua buah negara dalam mengatasi isu global bekalan makanan. 

Malaysia terus komited untuk bekerjasama rapat dengan Arab Saudi bagi meneruskan hubungan dua hala dalam sektor pertanian dan agromakanan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

DATUK SERI DR RONALD KIANDEE
Menteri Pertanian dan Industri Makanan – HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -