
PADA 2019, penduduk Malaysia adalah seramai 32.5 juta orang sementara pada tahun 2021 jumlah penduduk telah meningkat kepada 32.6 juta orang. Kadar peningkatan penduduk adalah di antara 300,000 hingga 400,000 setiap tahun.
Menurut Kementerian Pengangkutan pula pada bulan April 2020, jumlah kenderaan di negara kita pada 2019 adalah 31.2 juta. Selepas tahun tersebut bilangan peningkatan adalah sekitar 1 juta kenderaan setiap tahun sehingga pada tahun 2021, jumlah kenderaan adalah sebanyak 33.3 juta.
Tahun 2021 melihat buat pertama kali bilangan peningkatan kenderaan melebihi bilangan peningkatan penduduk. Bagi pengguna jalan raya, statistik ini bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kesesakan yang terpaksa mereka hadapi setiap hari.
Keadaan menjadi bertambah parah ketika musim-musim perayaan, cuti sekolah dan ‘extended weekend’. Contohnya pada hujung minggu yang lepas, lebuhraya-lebuhraya di negara kita menjadi begitu sesak akibat ‘extended weekend’ kerana hari Isnin adalah cuti umum.
Kesesakan jalan ini mengakibatkan kehilangan waktu bekerja dan sudah tentu mengurangkan produktiviti. Selain dari itu, tekanan ke atas warga kerja memberi kesan kepada prestasi kerja mereka. Tekanan ini juga memberi kesan kepada keluarga mereka di rumah. Prestasi anak-anak Di sekolah juga akan terjejas.
Menurut Bank Dunia, warga kerja di Malaysia kehilangan 1 juta jam waktu bekerja setiap tahun akibat terkandas di dalam kesesakan jalan raya. Dari segi nilai kewangan, sebanyak RM10 hingga 20 bilion dibazirkan setiap tahun akibat kesesakan. Bank Dunia juga menganggarkan nilai petrol yang dibazirkan akibat kesesakan adalah RM1 hingga 2 bilion setiap tahun.
Jalan-jalan yang sesak apabila jumlah kenderaan bertambah adalah sebahagian dari masalah. Tempat letak kereta yang tidak mencukupi juga adalah satu masalah besar. Di pembangunan berstrata seperti rumah pangsa, pangsapuri atau kondominium, tempat letak kereta sentiasa kelihatan seperti tidak mencukupi. Penghuni terpaksa meletakkan kenderaan di jalan-jalan di sekitar pembangunan mereka.
Peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memang menetapkan setiap unit kediaman perlu diperuntukkan tempat letak kereta berdasarkan kos kediaman tersebut. Contohnya unit kediaman kos tinggi perlu diperuntukkan tempat letak kereta yang lebih dari unit kediaman kos rendah.
Tetapi peraturan ini hanya relevan jika unit-unit itu didiami oleh keluarga-keluarga dengan anak-anak yang sedang membesar. Jika unit itu disewakan dan setiap penyewa memiliki kenderaan sendiri, sudah tentu tempat letak kereta yang disediakan di pembangunan itu tidak akan mencukupi. Begitu juga jika di dalam sebuah keluarga terdapat anak-anak yang telah dewasa dan mereka memiliki kenderaan sendiri.
Terdapat beberapa pandangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah kesesakan ini. Di antaranya adalah dengan mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Walau bagaimanapun rakyat hanya akan menggunakannya jika rangkaiannya meluas, selesa dan cekap (efficient). Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 meletakkan sasaran 40 peratus penggunaan pengangkutan awam pada akhir 2030. Buat masa ini adalah hanya 20 peratus.
Satu lagi pandangan untuk mengurangkan kesesakan adalah dengan memperbaiki sistem jalan raya di negara kita. Ini sedang dijalankan secara berterusan dengan pembinaan lebuhraya-lebuhraya baharu dan menaiktaraf lebuhraya dan jalan raya sedia ada. Walau bagaimanapun kerja-kerja tersebut turut menyumbang kepada kesesakan dan juga kemalangan. Tambahan pula hanya beberapa tahun selepas kerja-kerja di sesuatu kawasan itu berakhir, kerja-kerja baharu akan dimulakan semula. Justeru penderitaan rakyat tidak akan berakhir. Tidak hairan jika ada yang bertanya sama ada kerja-kerja tersebut adalah untuk keselesaan rakyat atau untuk mengaut keuntungan?
Kedua-kedua penyelesaian ini mungkin akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan tetapi ia tidak akan mengurangkan jumlah kenderaan di negara kita. Ini bermakna walaupun rakyat tidak menggunakan kenderaan untuk pergi bekerja atau urusan-urusan lain namun masalah tidak cukup tempat letak kereta masih tidak akan dapat diselesaikan.
Adakah kita mahu mengurangkan bilangan kenderaan atau mahu mengurangkan kesesakan di jalan raya. Pengurangan bilangan kenderaan dapat membantu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (greenhouse gases) yang menyebabkan pada perubahan iklim. Tetapi pada satu kempen pilihan raya, pembangkang telah menjanjikan harga kereta yang lebih murah jika mereka berkuasa. Ini sudah tentu akan meningkatkan bilangan kereta di negara kita. Adakah ini yang kita mahukan?
Sebelum kita meneruskan perdebatan sama ada untuk mengurangkan kereta atau mengurangkan kesesakan, jangan kita lupa Malaysia mempunyai industri automotifnya sendiri. Industri ini adalah yang ketiga terbesar di Asia Tenggara dan ke 23 terbesar di dunia. Malaysia mengeluarkan lebih 500,000 unit kenderaan setahun dan kebanyakannya digunakan di dalam negara. Sebarang penurunan permintaan dari pasaran tempatan akan memberi kesan kepada industri ini. Tambahan pula, lebih 700,000 orang bekerja di dalam industri ini dan sudah tentu mereka juga akan terkesan. Industri ini menyumbang kepada 14 peratus atau RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK (GDP).
Jadi apa penyelesaiannya? Singapura menjadikan harga kenderaan begitu mahal untuk mengawal bilangan kenderaan di jalan raya. Di masa yang sama mereka memiliki sistem pengangkutan awam yang cekap. Tetapi republik itu adalah sebuah negara kecil, seluas daerah Hulu Langat di Selangor. Mungkin negara kita memerlukan beberapa penyelesaian yang berbeza menurut keperluan tempatan. Tidak ada satu penyelesaian untuk semua.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 13/6/2022











