
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Unit Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 12,000 beg darah setiap tahun bagi menampung keperluan pesakit.
Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi HUSM, Dr Amran Ab Wahab berkata, melalui program yang dilaksanakan pihaknya menjangka dapat mengumpul sebanyak 800 beg darah dalam tempoh sebulan bagi mengekalkan tahap simpanan darah yang diperlukan.
Katanya setakat ini bekalan darah mencukupi, namun orang ramai digalak datang derma darah supaya bekalan darah di hospital berada dalam paras selesa.
“Ini kerana penggunaan darah tidak menentu ia bergantung pada keadaan kes yang pesakit hadapi, di mana ada ketikanya memerlukan penggunaan darah yang banyak.
“Sebab itu kita mahu orang ramai sentiasa datang menderma darah untuk mengelak terputus bekalan darah,” katanya ketika ditemui pada program derma darah di Hotel Perdana, di sini hari ini.
Menurutnya juga penggunaan darah yang banyak kebiasaannya pada musim perayaan, di mana banyak berlaku kes kemalangan.
Kata beliau juga darah jenis O diperlukan lebih banyak berbanding kategori lain kerana, darah jenis O boleh didermakan kepada pelbagai jenis kumpulan darah yang lain.
“Kalau kita ada bekalan lebih kita akan berkongsi dengan mana-mana hospital memerlukan dan jika kita perlu bekalan darah kita juga akan minta dengan pihak hospital lain, kita sama-sama membantu antara satu sama lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2022











