
Oleh AIN MANAF
PASIR MAS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pengambilan 120 anggota baharu tahun ini bagi memperkukuhkan pasukan penguat kuasa jabatan berkenaan.
Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, proses ujian fizikal dan temuduga sedang dilakukan bagi pengambilan anggota berkenaan sebelum mereka dipanggil menjalani kursus asas selama tiga bulan.
Katanya, JPJ sentiasa optimis dalam mempertingkatkan disiplin dalam kalangan anggota, selain kesungguhan tinggi perlu diberikan ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan.
“Pasukan uniform perlu ada disiplin yang tinggi selain perlu ada kesungguhan dalam menjalankan tugas serta perlu menjaga imej agensi,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan pemimpin cilik Sekolah Kebangsaan (SK) Kedondong sesi 2022/2023, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, Hasbullah Che Cob.
Muhammad Kifli juga berkata, dalam menjalankan tugas penguatkuasaan pihaknya turut mempergiatkan lagi pasukan pancaragam dengan merancang menambah ahli baru sejajar dengan pengambilan pelatih baru sesi 2022.
Katanya, ahli pancaragam terdiri daripada pelbagai unit serta pelbagai negeri dan tidak hanya tertumpu kepada mereka yang bertugas di negeri tertentu sahaja.
Katanya, pancaragam JPJ yang ditubuhkan sejak 2017 mempunyai seramai 40 anggota serta seramai tujuh anggota yang mempunyai kemahiran khusus menggunakan peralatan begpaip dalam kumpulan muzik berkenaan.
“Penubuhan dan pemerkasaan kumpulan pancaragam bagi menunjukkan kebolehan anggota dalam kepelbagaian tugas dan tidak hanya tertumpu menjalani tugasan sebagai penguatkuasa semata-mata.
“Kita merancang untuk menambah seramai 50 ahli pancaragam baru dan apabila ada sesuatu persembahan mereka akan dikumpulkan di suatu lokasi untuk menjalani latihan.
“Oleh itu, kita minta anggota yang ingin menyertai perlu ada minat dan menjadi kelebihan sekiranya mempunyai latar belakang muzik. Kita lihat dalam kalangan anggota yang menyertai ada minat sangat tinggi dan berkebolehan mengendali alat muzik dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2022











