Adaptasi digital letakkan Malaysia setanding global

digital
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adaptasi penggunaan digital dalam pelbagai urusan perkhidmatan dan ekonomi di negara ini semakin meningkat yang mesti diambil peluang oleh semua pihak.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ledakan itu menjadi begitu cepat di seluruh dunia termasuk ASEAN antaranya kesan pandemik COVID-19.

Dalam masa sama beritahunya, inisiatif digital dilaksanakan MOSTI dengan mengarusperdanakan sains, teknologi dan inovasi atau STI sebagai penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi.

“Di Malaysia digital ekonomi dijangka mencapai USD35 bilion, malah Malaysia mendahuluinya dengan mempunyai 88 peratus atau 22 juta pengguna digital di mana ia semakin bertambah.

“Persoalannya ialah kenapa ia penting? Kerana ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus daripada KDNK negara dan mencipta sekitar 500,000 pekerjaan menjelang tahun 2025,” ujarnya.

Beliau mengemukakan demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia dan Keusahawanan 2022 anjuran Institut Strategik Asia Pasifik (KSI) di Berjaya Times Square Hotel, di sini kelmarin.

Menurutnya, pendigitalan telah meningkatkan imej industri dan memacu pertumbuhan ekonomi kesan penggunaan teknologi termasuk dalam e-dagang apabila pengguna berbelanja menerusi pembayaran digital.

Untuk itu Malaysia katanya, berusaha menyediakan gentian optik yang pantas dan akses internet jalur lebar mudah alih dengan penyelarasannya antara entiti perniagaan, universiti dan pihak berkuasa.

Beliau mengajak peluang besar itu dimanfaatkan oleh perniagaan dan kerajaan akan berusaha menyediakan persekitaran yang dikawal selia dan kondusif untuk ekosistem lebih berdaya saing.

Bahkan semua itu ujarnya, selari dengan potensi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi pada tahun 2030 nanti.

“Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital iaitu MyDigital untuk membantu dan membimbing transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan peneraju dalam ekonomi digital,” maklumnya.

Ahmad Amzad turut menyatakan mengenai inisiatif MOSTI menerusi STI dalam pelbagai bidang dan dihubungkan juga dengan teknologi terkini 5G untuk Malaysia terus berdaya saing di peringkat global.
 
Kata beliau, penggunaan teknologi ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor dan industri seperti tenaga, penjagaan kesihatan, bandar pintar, pertanian, pendidikan dan sebagainya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini turut menyenaraikan beberapa inisiatif dan kerjasama telah diadakan dengan pelbagai pihak dalam mengaplikasikan penggunaan teknologi digital itu.

Menongkah cabaran

Terdahulu dalam ucapan itu beliau menyifatkan Malaysia telah berjaya memerangi COVID-19 hingga membolehkan sektor ekonomi dibuka semula dengan aktiviti sosial dan perniagaan diteruskan.

“Walau bagaimanapun kita masih punyai banyak cabaran. Kita sedang bergelut dengan ketidaktentuan makanan, perubahan iklim dan wabak COVID-19 dan seterusnya.

“Kita telah melihat bagaimana rantaian bekalan global telah diganggu oleh konflik geopolitik di Ukraine yang masih berpanjangan serta sekatan-sekatan lain walaupun Malaysia sedang dalam pemulihan nasional.

“Saya boleh katakan bahawa ekonomi kita sedang menuju ke arah yang betul. Kami melebihi jangkaan apabila merekodkan 5 peratus pertumbuhan KDNK pada suku pertama tahun ini,” umumnya.

Malaysia juga beritahunya, berada dalam inflasi terkawal dengan terus memperuntukkan subsidi petrol, bahan makanan dan keperluan kepada rakyat.

Jelasnya, beliau optimistik dengan prospek pertumbuhan Malaysia untuk tahun 2022 dan seterusnya di mana terbaharu Bank Negara Malaysia turut meramalkan unjuran ekonomi semakin berkembang.

Pengangguran juga katanya, mengalami penurunan ketara dan Malaysia mahu terus keluar dari wabak, menjadi lebih kuat dan bedaya tahan serta kembali menyertai rakan-rakan dagangan. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -