Rumah Terbuka: Presiden PAS ucap terima kasih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat 2022 di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, majlis pada hari ini adalah untuk mengajak semua pihak daripada semua kaum di negara bermasyarakat majmuk ini untuk berkumpul bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Peluang berkumpul secara beramai-ramai ini juga membuka ruang untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, petang ini.

- Advertisement -

Katanya, begitulah jua antara tujuan manusia itu seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.

Menurut beliau, ayat itu merupakan peringatan daripada Allah SWT bahawa setiap manusia yang ada di atas muka bumi ini merupakan satu keluarga besar.

“Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ucapkan selamat datang kepada semua yang hadir bagi meraikan majlis ini. Mudah-mudahan majlis kita dirahmati oleh Allah SWT,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 28/5/2022

- Advertisement -