
Oleh SYAHIRAH SALLEH
IPOH: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat 2022 di Stadium Indera Mulia, hari ini meriah dengan kehadiran rakyat Perak dan dari luar.
Tidak hanya orang Melayu Islam datang ke majlis itu, rakyat daripada pelbagai bangsa dan agama yang menggambarkan masyarakat majmuk turut kelihatan memeriahkan suasana.
Walaupun pelbagai juadah hari raya dan tradisional disediakan, yang sentiasa menjuarai barisan terpanjang adalah kambing golek dan sate.
Hidangan cendol, rojak, dan ais krim amat menggiurkan, apatah lagi dalam cuaca panas terik sampai ke petang.

Sama ada dalam dewan berhawa dingin, mahupun di luar, kerusi meja memang penuh dan orang mula beransur pulang setelah jam dua majlis berlangsung.
Ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk bergambar bersama pemimpin yang hadir sambil menghulur tangan menerima duit raya untuk anak-anak mereka.

Bendera dan belon dengan lambang bulan merata-rata dikibarkan dan dibawa lari anak-anak kecil dengan tulisan PAS untuk semua.
Gerai jualan juga tidak kurang meriahnya. Air sejuk, baju PAS, biskut, makanan sunnah, dan banyak lagi gerai juga ada.
Acara cabutan bertuah juga diadakan dengan hadiah paling menarik, iaitu smart TV dimenangi oleh pengunjung dari Teluk Intan.
Sementara itu, PAS Taiping membawa pulang wang tunai RM2,000 sebagai juara antara gerai terbaik daripada 24 gerai ada, diikuti PAS Tambun sebanyak RM1,500 dan PAS Padang Rengas sebanyak RM1,000.
Antara pemimpin tinggi yang hadir selain Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ialah Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin; Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob, Ketua Penerangan PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Mohd Salleh; Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Senator Balasubramaniam AL Nachiappan.
Turut kelihatan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun, dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan pimpinan dari parti Gerakan.
Dianggarkan lebih 20,000 orang berbanding jangkaan hanya 15,000 yang datang memeriahkan majlis berkenaan termasuk jemputan pimpinan pembangkang. – HARAKAHDAILY 28/5/2022













