
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KUALA KRAI: Kira-kira 15,000 penduduk enam kampung di seberang Sungai Kelantan terpaksa menggunakan perkhidmatan feri untuk berulang alik ke bandar Kuala Krai dan tempat-tempat lain.
Enam kampung iaitu Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet, Kampung Bahagia dan Kampung Buyong Darul Hijrah.
Feri menjadi pilihan memandangkan jalan darat melalui laluan berbukit mengambil masa lebih dua jam berbanding menggunakan feri hanya antara lima hingga 10 minit.
Bagaimanapun feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad terpaksa bekerja keras menampung permintaan pelanggan yang meningkat berkali ganda sempena sambutan Hari Raya.
Selepas dua tahun, jeti pangkalan feri di Kampung Pasir Kelang kembali meriah dengan kepulangan anak-anak perantau.
Feri terbabit mampu membawa enam kenderaan, motosikal dan penumpang setiap trip ketika menyeberangi Sungai Kelantan.
Kepulangan perantau menyebabkan deretan kenderaan hampir satu kilometer menunggu giliran sebelum dapat menaiki feri untuk menyeberangi Sungai Kelantan.
Seorang penduduk Kampung Bukit Sireh Mohamad Shahril Ismail, 34 berkata beliau bersama rakan menunggu feri sejak jam 12 tengah hari bagi menyeberangi sungai untuk berhari raya di rumah sepupu di Pasir Kelang.
“Ketika hampir sampai di jeti, saya terkejut melihat kenderaan berderetan panjang menunggu giliran sebelum dapat menaiki feri.
“Jadi saya mengambil keputusan meninggalkan kereta di tepi jalan utama dan menaiki feri tanpa menggunakan kereta bagi mengelakkan kesesakan,” ujarnya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 6/5/2022











