
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Perantau Kelantan yang mahu pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing diminta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dijangka berlaku menjelang hari lebaran beberapa hari lagi.
Menteri Besar Ustaz’ Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, bagi mengelakkan situasi itu berlaku, kerajaan turut menyediakan banyak jalan alternatif walaupun laluan tersebut mengambil masa lebih lama.
Selain itu beliau turut menasihati rakyat mematuhi arahan pihak berkuasa dalam aspek lalu lintas serta menjaga kebersihan sepanjang perjalanan pulang kerana sambutan perayaan tahun ini berbeza.
“Saya jangka raya tahun ini akan balik ramai perantau setelah kita dua tahun PKP, jadi kita nasihat kepada semua pengguna jalan raya sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa untuk mengambil jalan alternatif.
“Selain itu jangan buang sampah merata-rata selepas berbuka khususnya, dan kita harap mereka balik berjumpa keluarga dan dapat kembali semula dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri kepada guru-guru pondok seluruh Kelantan di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Dato’ Abdullah Ya’kub dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Pada majlis itu seramai 400 penerima terdiri daripada guru pondok, tenaga pengajar dan mudir menerima bantuan khas berjumlah RM500 seorang bagi menghargai jasa serta peranan mereka dalam perkembangan Islam.
Ahmad turut meminta orang ramai agar terus mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak berlaku dalam komuniti.
Beliau berkata, langkah tersebut tidak boleh dipandang mudah biarpun kerajaan mengumumkan pelbagai kelonggaran selepas negara memasuki fasa endemik.
Menurutnya pemakaian pelitup muka di lokasi sempit dan tertutup wajar diteruskan bagi mengelakkan penularan semula wabak.
“Tetapi memandangkan masih ada lagi kes membabitkan Covid-19, mungkin kita kena jaga terutamanya di musim perayaan kerana kita akan terlibat dengan perjumpaan dalam majlis melibatkan orang ramai,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2022











