
SEBAIK sahaja wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di penghujung Syaaban, mengenai kefarduan berpuasa di bulan Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah, berlakulah satu peristiwa besar tanggal 17 Ramadan tahun yang sama iaitu peristiwa Perang Badar Al-Kubra.
Peperangan ini walaupun dari sudut zahir melibatkan pasukan Islam yang kecil, hanya 313 orang dengan kelengkapan serba kekurangan, tetapi perang inilah yang mengubah landskap sejarah dakwah Islam di Semenanjung Arab dan menjadi titik tolak kebangkitan sebuah Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Jasa dan kedudukan para Sahabat
Para Sahabat Nabi yang menyertai perang Badar ini dianggap sangat berjasa sehinggakan jika diselak kitab-kitab yang bercerita mengenai Sahabat Nabi, akan ditemukan ayat ‘Beliau telah menyaksikan Perang Badar‘.
Dalam satu peristiwa Pembukaan Kota Makkah, apabila Hatib bin Abi Balta’ah memberitahu pergerakan tentera Nabi kepada saudaranya bagi tujuan menyelamatkan ahli keluarga di Makkah, Umar mahu Rasulullah S.A.W menghukum beliau. Namun Rasulullah S.A.W melepaskannya kerana beliau pernah menyaksikan Perang Badar dan mudah-mudahan Allah mengampunkan kesilapan tersebut.
Begitulah besarnya kedudukan dan kesan Perang Badar dalam sejarah Islam yang berlaku dalam bulan Ramadan. Sejarah mengajar kita bahawa bulan Ramadan bukan semata-mata bulan untuk berpuasa, tetapi bulan perjuangan untuk melipatgandakan misi dakwah, menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.
Berkongsi kesusahan dalam merebut ganjaran
Abdullah bin Mas’ud menceritakan bahawa dalam perjalanan menuju ke Badar, setiap tiga orang Sahabat Nabi akan berkongsi seekor unta tunggangan. Dua orang akan berjalan, manakala seorang lagi akan mengenderai unta. Mereka akan bergilir-gilir dalam perjalanan ke Badar, termasuklah Nabi sendiri.
Maka Abu Lubabah dan juga Ali bin Abi Talib yang berkongsi tunggangan dengan Nabi, apabila tiba giliran Nabi untuk berjalan dan giliran salah seorang mereka untuk mengenderai unta, mereka berdua berkata kepada Nabi, “Kami akan berjalan menggantikanmu wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Kamu berdua tidaklah lebih kuat daripadaku, dan aku juga tidaklah kaya (sehingga tidak memerlukan ganjaran) pahala berbanding kamu berdua.“
Begitulah sikap seorang Nabi yang sudi berkongsi kesusahan dalam perjuangan demi merebut ganjaran pahala bersama-sama para Sahabat Baginda. Baginda tidak rela para Sahabat sahaja bersusah payah demi Baginda, tetapi Baginda sendiri sanggup bersusah payah demi mendapatkan ganjaran pahala walaupun Baginda seorang Nabi.
Sahabat Nabi dan keindahan akhlak
Huzaifah bin Al-Yamaan menceritakan bahawa dalam perjalanan beliau dan ayahnya ke Madinah untuk berhijrah ambang perang tersebut, mereka ditahan oleh sekumpulan Quraisy dan diugut untuk tidak membenarkan mereka meneruskan perjalanan ke Madinah melainkan berjanji dengan mereka untuk tidak menyertai Perang Badar. Mereka akur dan setuju untuk membuat perjanjian tersebut.
Apabila mereka sampai ke Madinah dan bertemu dengan Rasulullah S.A.W serta menceritakan janji yang telah mereka buat, maka Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Kita mohon pertolongan Allah terhadap mereka, dan kita menepati janji dengan mereka”. Maka dengan sebab itu, Huzaifah berkata beliau dan ayahnya tidak dapat menyertai Perang Badar kerana memenuhi janji yang telah mereka buat.
Apabila pasukan tentera Islam berjaya mengalahkan pasukan kafir Quraisy dalam perang Badar, maka Rasulullah S.A.W berpesan kepada Sahabat-sahabat Baginda agar memuliakan tawanan sebaiknya dan tidak mengapa-apakan mereka dengan sesuatu yang buruk.
Abu Aziz bin Umair yang masih kafir ketika itu, menceritakan saat beliau dalam tawanan. Apabila tiba waktu makan, maka beliau akan diberikan roti yang mengenyangkan, manakala Sahabat Nabi hanya makan kurma kerana kekurangan makan. Hal ini menyebabkan beliau akhirnya memeluk Islam kerana melihatkan keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh para Sahabat Nabi.
Lindungi puasa kita
Akhir kata, dalam suasana bulan Ramadan, bulan perjuangan yang penuh cabaran ini, marilah sama-sama kita memperbaiki puasa Ramadan yang kita jalani dengan menjaganya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang merosakkan dan membatalkan pahalanya.
Nabi sendiri sering mengingatkan kita mengenai betapa ramainya orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa hasil daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Bahkan, dalam Hadis yang lain, Nabi menceritakan bahawa Allah tidak pun berhajat kepada puasa golongan yang suka bercakap dusta dan nista serta beramal dengannya. Semoga Allah menjauhkan kita daripada termasuk dalam golongan tersebut.
Mudah-mudahan perjuangan kita mengharungi bulan ini diberikan ganjaran pahala berganda oleh Allah.
MOHD AMAR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 12/4/2022











