
JELI: Warga emas di Kampung Sungai Long yang menghadapi masalah untuk datang ke masjid sempena Ramadan boleh menumpang sementara di rumah pondok yang disediakan masjid.
Masjid At Taqwa Sungai Long dekat sini menyediakan lapan pondok untuk membolehkan warga emas tinggal di situ sepanjang Ramadan.
Imam masjid berkenaan Abdul Rahim Muhammad berkata, warga emas yang menumpang di pondok tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran.
“Kebiasaannya setiap tahun seramai 10 warga emas tinggal di situ. Ada juga warga emas yang datang suami isteri.
“Malah ada penduduk dari kampung lain termasuk Kampung Gunung Reng menumpang sementara di pondok di sini. Kami sediakan kemudahan untuk mereka beribadat sepanjang Ramadan,” katanya di sini.
Menurutnya juga rumah pondok tersebut ada yang dibina sendiri penduduk untuk kegunaan mereka ketika bulan Ramadan.
Katanya pada setiap bulan Ramadan mereka akan tinggal di pondok tersebut bagi memudahkan berulang alik ke masjid untuk menunaikan solat tarawih.
Selain itu Masjid At Taqwa juga mempunyai rumah enap desa sebanyak dua bilik yang boleh disewakan kepada sesiapa sahaja yang berminat.
“Enap desa disediakan di bangunan dua tingkat yang baru siap dibina, di mana tingkat bawah dijadikan homestay dan tingkat atas pula terdapat bilik mesyuarat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2022











