Rumahku rumah ilmu

- Advertisement -

DALAM kitab Ayyam Ramadhan Tsalatsun Kalimah Fi Al-Shiyam karya Dr. Soleh bin Abdul Karim Al-Zaid menyatakan bahawa Nabi S.A.W sangat menekankan pembinaan ilmu dalam masyarakat khasnya di peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Keutamaan kepada ilmu dijadikan agenda teras sehingga Nabi S.A.W turut menggunakan khidmat tawanan yang berkemahiran untuk mengajar anak-anak Madinah:

- Advertisement -

ومن مظاهر العلم في رمضان ما كان من موقف رسول الله مع أسرى بدر الذي لا مال لهم إذ اتفق معهم على أن يفادي كل واحد منهم نفسه بتعليم عشرة من صبيان أهل المدينة القراءة والكتابة، ونجد النبي وهو في بداية تكوين الدولة الإسلامية وإنشائها وفي أشد الحاجة إلى المال والسلاح، لا ينسى سلاح العلم والتعليم بل يقدمه على كل حاجاته، ليعلن على الناس كافة أن العلم ركن ركين وشيء أساسي في بناء الأمم وقوتها ونهضتها وعلو شأنها.

“Di antara manifestasi ilmu di bulan Ramadhan, ia dapat dilihat melalui ketetapan yang dicapai oleh Rasulullah S.A.W dengan tawanan Badar, yang tidak mempunyai wang, persetujuan dengan mereka untuk setiap daripada mereka menebus dirinya dengan mengajar sepuluh orang kanak-kanak Madinah membaca dan menulis. Kita dapati Nabi S.A.W, pada awal pembentukan dan penubuhan negara Islam sangat memerlukan wang dan senjata. Namun, Baginda S.A.W tidak melupakan senjata ilmu dan pendidikan, malah mendahulukannya daripada semua keperluan lain. Hal ini bagi menyatakan kepada semua orang bahawa ilmu adalah asas dan perkara penting dalam membina ummah, kekuatan mereka, kebangkitan mereka dan ketinggian jati diri mereka”.

Untuk dapatkan ilmu mestilah melalui membaca dan adanya guru yang mendidik. Pastikan bermula daripada rumah masing-masing dipupuk pembinaan ilmu ini secara serius. Rumah kita adalah institusi pertama ilmu untuk seluruh ahli keluarga, bagi menjamin generasi celik ilmu dan berpengetahuan. Khasnya kita yang telah lama berada dalam pandemik dan kini endemik menyebabkan terlalu ramai kanak-kanak mulai tidak dapat membaca, menulis dan mengira (3M). Walaupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah dilakukan namun ia tidak memberi kesan sebagaimana pembelajaran secara fizikal.

Paling kurang, ada buku-buku yang mudah dipelajari disediakan di rumah untuk tatapan anak-anak dan ajari mereka 3M mengikut kebolehan masing-masing. Tambahan pula dengan didikan amali solat, mengenal Al-Quran, cara makan dan minum, inilah sebuah pendidikan Rabbani yang dikehendaki dalam sesebuah keluarga. Selain itu, pentadbiran negeri dan negara perlu mencari solusi bagi menangani beberapa permasalahan dalam pendidikan akibat pandemik kerana membimbangi kesannya pada 10 hingga 15 tahun akan datang kepada kualiti modal insan.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 7/4/2022

- Advertisement -