
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) fasa endemik sempena pembukaan sesi persekolahan 2022/2023.
Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebanyak 93 sekolah agama di bawah Yik melakukan persiapan tersebut.
Katanya juga pengurusan sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak berlaku pada fasa endemik.
“Hendak kembali kepada biasa sukar juga memandangkan wabak sudah ada dalam komuniti. Jadi kita kena lebih berhati-hati bagi mengelakkan penularan semula wabak,” katanya di sini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan tazkirah Zohor sempena Ramadan di Dewan Zulkifli Muhammad Badan Perhubungan PAS Kelantan.
Sesi persekolahan 2022/2023 bagi sekolah rendah dibuka di seluruh negara bermula 21 Mac lepas. Manakala murid sekolah rendah di mana jumlah pelajar lebih 600 orang akan bergilir untuk murid Tahun 3, 4 dan 5.
Pelajar sekolah menengah pula hadir ke sekolah secara bersemuka bermula 4 April lepas. – HARAKAHDAILY 6/4/2022











