
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Pelajar PASTI Smart Aulad Anak Cilik Taman Utama, Hawa Maisarah Mohd Adli, 6 tahun, belajar berpuasa kerana ingin merasai kesusahan orang miskin.
Menurut gurunya, Nur Alhana Baharudin, majoriti pelajar seronok meraikan Ramadan walaupun mereka hanya berpuasa separuh hari.
“Kebanyakan anak-anak murid akan puasa separuh hari. Ini kerana kita tidak menyediakan makanan kecuali bagi pelajar yang mengikuti kelas sehingga waktu petang.
“Di samping itu, pelbagai aktiviti dijalankan seperti mewarna poster Ramadan, belajar solat tarawih serta adab sahur dan berbuka,” katanya ketika ditemui di sini.
Kata Alhana pelbagai aktiviti ibadah boleh diterapkan kepada pelajar untuk meraikan kedatangan bulan yang mulia sekarang.
“Kita sentiasa menghidupkan keseronokan bulan ini, seperti bercerita kepada mereka tentang kelebihan berpuasa pada perhimpunan pagi sebelum masuk ke kelas.
“Bagi pelajar yang tidak berpuasa, kita menggalakkan mereka menjalankan aktiviti seperti membaca al-Quran, membantu ibu bapa di rumah dan belajar bersedekah,” ujarnya.
Guru PASTI Al Hidayah Noraini Haron pula berkata, seorang murid Nur Raihan Afeeya Izzat Muhsin, 6 tahun tetap berpuasa penuh biarpun rakan-rakan lagi puasa separuh hari.
Katanya juga aktiviti pembelajaran di PASTI berjalan seperti biasa sekarang memandangkan fasa persekolahan sesi 2022 baharu bermula.
“Dua minggu pertama, kita menjalankan aktiviti transisi supaya anak-anak dapat mengenali antara satu sama lain.
“Seterusnya mereka akan belajar amali solat, membaca, menulis serta hafazan surah-surah pendek,” katanya.
Sementara itu Pengarah PASTI Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, guru akan bertanya kepada ibu bapa jika anak-anak mereka yang dihantar ke PASTI mahu berpuasa.
Menurutnya langkah itu dibuat kerana PASTI tidak menyediakan makanan bagi menghormati pelajar lain yang berpuasa.
“Ini secara tidak langsung mendorong murid-murid belajar berpuasa separuh hari di sekolah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2022











