Jangan tinggal sahur!

- Advertisement -

AMALAN berpuasa dalam bulan Ramadan telah terbukti memberikan kebaikan dari sudut kesihatan kepada tubuh badan kita. Sahur pula merupakan antara elemen penting sepanjang kita menjalani ibadah bulan Ramadan.

- Advertisement -

Keutamaan sahur sebagai satu amalan sunat yang amat dituntut ada dinyatakan dengan jelas oleh beberapa Hadis Nabi Muhammad S.A.W.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi S.A.W telah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”

Sahur juga menjadi amalan yang membezakan amalan puasa umat Islam dengan amalan puasa ahli kitab sebagaimana Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

“Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”

Manakala perbuatan sahur itu sendiri disunatkan pula untuk dilewatkan sehingga hampir waktu subuh. diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit R.A, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قُمْنَا إِلَى الصَّلَاةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ قَدْرُ مَا بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: خَمْسِينَ آيَةً

“Kami telah bersahur bersama Rasulullah S.A.W kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka Baginda S.A.W bersabda: 50 ayat.”

Ulamak mengatakan, maksud 50 ayat itu adalah kadar tempoh bacaan 50 ayat. Kadar ini pula bersamaan dengan tempoh daripada waktu imsak ke waktu subuh.

Dari sudut hukum dan amalan, jelas sekalian amalan sahur jangan kita tinggalkan. Cantiknya Islam ini, amalan sahur sebenarnya amat bermanfaat dari sudut sains dan kesihatan juga kerana sahur berfungsi menggantikan sarapan.

Kajian semasa menunjukkan sarapan pagi adalah makanan paling utama yang perlu diambil dalam tempoh seharian kita berfungsi. Contohnya, kajian oleh Cahill et al. (2013) menunjukkan pertambahan risiko mendapatkan penyakit jantung sebanyak 27 peratus dalam kalangan dewasa di Amerika Utara yang tidak mengambil sarapan.

Selain itu, kajian-kajian terkini ada menunjukkan kanak-kanak tidak dapat memberikan tumpuan dalam  pelajaran akibat paras gula dalam darah yang menurun selepas keaadan bangun dari tidur dan paras ini boleh menjadi lebih rendah akibat tidak mengambil sarapan.

Oleh sebab itu, individu berpuasa yang mengamalkan sahur secara tidak langsung berada dalam keadaan lebih baik kerana tidak meninggalkan pengambilan makanan di awal hari sebelum memulakan rutin harian.

Kita mengamalkan sahur bukanlah atas faktor kesihatan semata-mata, namun kerana kita menyayangi sunnah Nabi Muhammad S.A.W dan ingin mencapai puasa yang terbaik. Selamat bersahur, dan jangan tinggal sahur walaupun hanya sebiji kurma dan segelas air.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 6/4/2022

- Advertisement -