MAIWP peruntuk RM9.46 juta bantuan Ihya’ Ramadan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM9.46 juta untuk diagihkan kepada 811 buah masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bagi aktiviti Ihya’ Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau itu bertujuan menggerakkan aktiviti pengimarahan masjid dan surau dalam bulan Ramadan.

- Advertisement -

“Masjid dan surau adalah jantung hati umat Islam,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Selain itu, ujarnya telah disampaikan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah Tahun 1443H yang bertempat di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Menurutnya, penganjuran program itu penting sebagai medium komunikasi bagaimana MAIWP mengagihkan zakat yang diterima daripada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, ujarnya bermula 1 Januari hingga 28 Februari lalu, sebanyak RM89.47 juta zakat telah diagihkan menerusi pelbagai bantuan oleh MAIWP.

“Saya juga akan terus memastikan MAIWP dapat melaksanakan program-program agihan yang benar-benar dapat memberikan impak kepada penerimanya mengikut kesesuaian asnaf,” tambahnya.

Idris berkata, beliau sentiasa berpesan kepada pihak pengurusan MAIWP untuk agresif turun padang mencari para asnaf dan pihak yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 5/4/2022

- Advertisement -