
INI sudut pandang saya terhadap YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan.
Dalam banyak siri saya mengiringi YB Exco ke daerah-daerah dalam negeri ini, kedengaran para belia dan NGO anak muda kerap memuji YB Ustaz Wan Roslan (Ustaz Lan).
Kata mereka, “puas hati sungguh dengan Exco Belia trek ni, banyak dia tulung kito ore muda”.
Pelbagai sukan kegemaran anak muda negeri, disantuni dengan cermat oleh Ustaz Lan. Beliau tidak kekok apabila diajak sama menyepak bola di padang, atau menghayun raket badminton, apatah lagi berkayuh basikal mengelilingi bandar atau desa. Cukup sempoi!
Jadual hariannya cukup padat dengan aktiviti anak muda, yang mana rakyat Malaysia amnya dan Kelantan khasnya, boleh melihat page FB Ustaz Lan yang terpapar penuh gambar belia bermain ping pong, futsal, bola sepak, muay, bola tampar dan banyak lagi.
Itu belum dikira komitmen Ustaz Lan dalam aktiviti e-sport yang menjadi kegilaan remaja masa kini. Semuanya berada dalam radar Exco Belia yang juga ADUN Pengkalan Kubor ini.
Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang berlangsung sehari dua kelmarin, Ustaz Lan menyebut Kerajaan Negeri berusaha keras dalam pemerkasaan e-sukan dalam kalangan anak muda dengan penubuhan persatuan atau kelab sukan elektronik bersama Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Antara yang didaftarkan adalah Kelab E-Sport Negeri Kelantan, Persatuan Sukan Elektronik Negeri Kelantan, Kelab Sukan Elektronik N Generation dan Kelab Sukan Elektronik Kijang.
Melalui beberapa kelab tersebut, pertandingan e-sukan telah dianjurkan bagi meraikan minat remaja di negeri ini antaranya Pertandingan MLBB Sempena Hari Sukan Negara 2021, Pertandingan PUBG Mobile Sempena Hari Sukan Negara 2021 dan Pertandingan Esport Peringkat Kelantan 2020. Semuanya dianjurkan demi belia.
Berkait penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) pula, banyak kerja dan usaha telah disusun bagi memastikan Kelantan bersedia menjadi tuan rumah tidak lama lagi. Lawatan ke tapak stadium baharu, pembangunan atlet dan prasarana sukan serta bermacam-macam lagi persediaan penting yang perlu telah, sedang dan akan dilaksana oleh Ustaz Lan dan para pegawainya. Tahniah!
Tempoh hari, saya ada terdengar seorang pegawai besar daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) yang memuji sikap Ustaz Lan dalam pembangunan sukan serta atlet. Bahkan sikap terbuka Ustaz sendiri dalam berhubung dengan MSN dipuji.
YB Ustaz Lan katanya tidak pernah ‘menggunakan’ para pegawai, fasiliti, kenderaan atau apa sahaja berkait sukan dan pembangunan atlet untuk kepentingan politik atau peribadi. Dan ini menyebabkan mereka cukup hormat dan menyanjungi YB Ustaz Haji Wan Roslan Wan Hamat.
Para belia negeri Kelantan cukup bertuah dengan memiliki Exco Belia yang aktif dan ‘sporting‘ begini.
TAUFIQ RAMLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 1/4/2022











