Pertandingan membaca dicetus dari semangat Iqra’

Dato' Che Lah juga berharap ia usaha tangani masalah dalam kalangan generasi muda

- Advertisement -

TUMPAT: Kalimah Iqra’ yakni seruan membaca di awal ayat pertama wahyu Allah S.W.T menurunkan al-Quran menjadi cetusan program diinisiatifkan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

- Advertisement -

Pertandingan Membaca Parlimen Tumpat yang merupakan penganjuran julung kali ini adalah pertama seumpamanya diadakan dalam kalangan masyarakat di daerah dan negeri ini.

Program dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat serta Perpustakaan Negara ini telah dilancarkan di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh, di sini Ahad lalu.

Menurut Che Abdullah, beliau berhasrat supaya tabiat membaca yang merupakan semangat diserukan daripada al-Quran itu sendiri menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat.

“Terutama generasi muda yang hari ini dilihat tidak berminat terhadap hal tanggungjawab dan sosial kemasyarakatannya, tetapi leka asyik kepada keseronokan melalaikan.

“Jadi saya mencetuskan program ini supaya semangat Iqra’ itu dapat merubah cara berfikir dan sikap mereka kerana dunia hari ini, bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya.

“Mudah-mudahan program seumpama ini membakar semangat memulakan untuk menjadikan membaca sebagai satu budaya. Dan sasaran sudah tentulah pertamanya kepada pelajar-pelajar, kepada anak-anak muda. 

“Namun sebenarnya budaya membaca ini patut digalakkan kepada setiap lapisan masyarakat. Supaya ibu bapa juga menjadikan membaca sebagai satu budaya yang mana ini sudah tentu menjadi dorongan kepada anak-anak juga,” ujar beliau.

Selaku penaung pertandingan ini, beliau menyatakan komitmen akan sentiasa memberi bantuan dan galakan kepada usaha-usaha untuk menjayakan kempen seumpama ini serta diperluaskan lagi.

Pertandingan bermula 1 April hingga 31 Mei ini menawarkan hadiah wang tunai untuk johan sebanyak RM1,000 dan naib johan RM700, manakaka ketiga RM500, serta 20 hadiah saguhati RM50 bagi setiap kategori, selain pemenang juga menerima sijil dan piala.

Penyertaan terbuka kepada kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan dewasa di mana penilaian akan dibuat oleh Pustakawan Kelantan, Pustakawan Institut Pendidikan Guru Pengkakan Chepa dan Pensyarah Universiti Teknologi Mara Kota Bharu.

Difahamkan juga, pihak perpustakaan turut memaklumkan kepada beliau bahawa kertas kerja program itu telah diangkat ke peringkat negeri bagi pelaksanaan ‘Keluargaku Membaca’. – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -