
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Ahli politik perlu akur terhadap Titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihatkan mereka supaya mengamalkan konsep demokrasi bermusyawarah.
Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, mereka seharusnya memberi tumpuan untuk membantu rakyat membiasakan diri melalui fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik.
Katanya, ini bukan masa untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen lebih awal.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi supaya jangan ada sebarang tekanan yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen lebih awal.
“Kita ada masa lagi, dan seharusnya masa ini kita fokuskan untuk membawa rakyat keluar atau membiasakan rakyat daripada fasa pandemik Covid-19 kepada fasa endemik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021, di Dewan Negara, hari ini.
Katanya, ramai daripada kalangan Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen berpendapat supaya rakyat perlu dibantu dalam peralihan fasa ini.
“Kita tahu rakyat tertekan dan banyak terkesan, seharusnya segala tenaga, pelaburan, perlu diberikan kepada rakyat supaya rakyat dapat menikmati kembali keamanan dan ketenteraman hidup seperti yang dirasai sebelum berdepan pandemik Covid-19.
“Saya mohon supaya penataan Titah Diraja berkenaan demokrasi bermusyarah ini dipegang dengan jitu oleh kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.
Menurut Khairil, gesaan itu supaya kerajaan boleh meneruskan perancangan melalui bajet yang dibentangkan sekaligus dapat memberi kelestarian dan kesejahteraan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 29/3/2022











