
SEGALA puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Esa. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhamad S.A.W utusan Allah yang membawa mesej kasih sayang bagi setiap umat manusia.
Allah Taala berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(Al-Hujurat: 13)
DS Yang Dipertua, YAB DS MB, Barisan Exco dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Saya tertarik dengan Titah Diraja KDYMM Pemangku Raja Pahang yang menyeru kita mengambil berat soal kebajikan dan berlaku adil demi kesejahteraan rakyat. Ia sangat bertepatan dengan kaedah feqah yang sering digunapakai dalam bidang Siyasah Syar’iyyah iaitu:
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
“Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”
Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah ialah:
“Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan. Justeru, sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, adalah dianggap sebagai maslahah.”
Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi’e:
“Adalah tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah (kebaikan kepada orang ramai tanpa mengira latarbelakang). Maka difahami secara mafhum mukhalafah, menurut arahan pemimpin yang mengandungi maslahah ‘ammah adalah wajib.”
Dalam ucapan perbahasan saya ini ada lima perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat di kawasan DUN Damak yang akan saya sentuh iaitu:
1. Capaian internet.
Dalam Titah Diraja DYMM Tuanku Pemangku Raja Pahang ada menyentuh berkenaan dengan perhubungan digital. Isu capaian internet di kawasan DUN Damak sering menjadi keluhan rakyat, tidak kira di kawasan kampung-kampung bahkan di kawasan pinggir bandar juga menghadapi masalah yang sama. Teknologi internet sudah menjadi keperluan asas untuk para penduduk, dari anak-anak yang menduduki persekolahan peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, pengajian tinggi hinggalah kepada kita yang hari-hari menyelesaikan pelbagai urusan dengan menggunakan capaian internet.
Meskipun dimaklumkan bahawa pihak SKMM dalam rangka menaiktaraf di 37 stesyen pemancar di kawasan DUN Damak dalam suku pertama 2022 namun ia belum menampakkan perubahan yang ketara.
Saya mengharapkan kerajaan dapat memperhalusi perkara ini, kerana kita Malaysia bukanlah negara yang mundur dalam bidang teknologi. Secanggih manapun telefon bimbit yang dimiliki, namun tanpa capaian internet yang memuaskan ianya tidak dapat berfungsi dengan baik.
2. Air keperluan asas yang perlu diutamakan.
Air merupakan isu yang sangat sensitif kepada semua penduduk terutama apabila berhadapan dengan keputusan bekalan air secara tiba-tiba. Sehari pun terasa seksa inikan pula jika telah menghadapi isu yang sama saban tahun. Bekalan air bersih merupakan sumber asas seharian dalam kehidupan untuk minum, membersih dan bertani.
Sumber kehidupan yang sangat berharga ini jika tidak ditangani dengan baik menyebabkan kesukaran kepada penduduk. Sebagai contoh baru-baru ini di DUN Damak sebuah loji terpaksa ditutup kerana air sungai yang keruh lebih daripada tahap boleh rawat. Proses untuk pulih kembali mengambil masa sekitar 5 hari. Lori air yang menghantar bekalan air terhad dan tidak mampu membekalkan air secara menyeluruh. Kesukaran ini membuatkan penduduk berang.
Oleh itu, saya berharap agar kerajaan negeri memberikan perhatian dan menjelaskan berkenaan usaha menaiktaraf loji air di Kg Bt Balai yang masih belum nampak kemajuannya kerana ia menjadi sumber kepada ribuan penduduk kampung tradisional. Sebagai contoh Kg Bharu sudah 30 tahun terpaksa berdepan dengan keputusan bekalan air berpanjangan lebih-lebih lagi ketika cuti sekolah atau musim perayaan. Begitu juga Kg Sempadan, hingga kini satu kampung belum menerima perkhidmatan air paip meskipun paip air sudah siap.
3. Pencemaran menggugat kedamaian kampung.
Dalam Titah Diraja Tuanku menekankan sekali lagi betapa pentingnya memelihara alam sekitar. Untuk pengetahuan Dewan, saya begitu bimbang dengan apa yang berlaku di jajaran Kg Sg Badak, Kg Bharu dan Kg Som dalam DUN Damak yang memiliki flora dan fauna yang sangat berharga, namun berterusan diancam dengan pembalakan dan perlombongan. Beberapa hari lalu saya mendapat laporan berlaku pencemaran udara dan bunyi berpunca dari kilang berdekatan kampung yang berlanjutan hingga ke tengah malam dan ada ketikanya sehingga waktu subuh.
Saya dimaklumkan bahawa penduduk kampung telah membuat aduan kepada pihak berwajib, mungkin saman telah dikeluarkan namun SOP kerap tidak dipatuhi. Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri Pahang mengenakan tindakan undang-undang yang lebih tegas tanpa kompromi terhadap mereka yang melakukan pencemaran alam sekitar.
4. Rezab bandar perlu dipelihara.
Sekali lagi saya menyuarakan kegusaran melihat kemerosotan rezab bandar khususnya kawasan-kawasan strategik yang telah dihakmilikkan kepada individu sedangkan tanah hak milik Majlis Daerah Jerantut semakin mengecil. Cubalah lihat di bandar Jerantut di manakah tanah milik MDJ? Tapak pasar malam pun terpaksa dibuat di atas jalan raya.
Harapan saya agar perjanjian berkaitan pembangunan rezab bandar dikaji semula dan dikenakan tindakan tegas terhadap pemaju yang tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Peniaga-peniaga kecil mengeluh apabila mendapat tahu kedai yang mereka sewa kini berada di atas tanah individu dan berdepan dengan kenaikan sewa yang tidak terkawal.
5. Solat Jumaat bagi pelajar asrama.
Saya mendapat maklumat bahawa sekolah-sekolah berasrama ada yang masih belum membenarkan pelajar-pelajar lelaki pergi solat Jumaat. Ia adalah satu perkara yang perlu diberikan perhatian kerana meskipun sudah banyak masjid dan surau yang solat secara rapat tapi pelajar-pelajar ini masih belum boleh solat Jumaat.
Ada ibu bapa yang tidak sanggup berdepan dengan situasi ini lalu memindahkan anak mereka ke sekolah harian. Ia adalah perkara serius yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Cadangan saya, sekiranya pihak KPM dan MKN masih belum membenarkan pelajar asrama keluar solat Jumaat maka pihak berkuasa agama negeri wajar mengizinkan solat Jumaat dibuat di surau sekolah dengan kebenaran sementara.
Akhir kalam, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada YAB Dato Seri Menteri Besar, semua barisan Exco Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan dalam usaha memakmur dan memajukan Negeri Pahang Darul Makmur.
Pucuk selasih bertunas menjulang,
Dahannya patah tolong betulkan,
Puasa Ramadhan Kembali menjelang,
Salah dan Khilaf mohon maafkan.
Selamat menunaikan ibadah puasa Ramadhan.
Sekian terima kasih, saya mohon menyokong.
YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
ADUN Damak – HARAKAHDAILY 29/3/2022











