Jangan sampai anak perempuan bawa balik ‘boyfriend’ ke rumah

Masyarakat diingat supaya larangan agama dan dosa tidak menjadi normalisasi dalam kehidupan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Keluarga berperanan penting untuk memastikan setiap tegahan atau larangan agama yang membawa kepada dosa tidak bertukar sebagai perlakuan normal hingga menjadi kebiasaan dalam kehidupan.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, mutakhir ini berlaku normalisasi terhadap perkara dilarang agama hingga menjadi satu budaya yang mengancam masyarakat khususnya kalangan umat Islam.

Menjelaskan perkara tersebut, normalisasi katanya, terjadi dari proses kelakuan yang dipamer ulang hingga ianya sinonim atau menjadi kebiasaan, lalu diterima dan tidak dirasa janggal lagi oleh sesuatu masyarakat.

Beliau selaku juga ADUN Gunung Semanggol mengupas hal tersebut pada Nadwah Guru Pendidikan Islam Kerian membawa tema ‘Cabaran Guru Alaf Baharu’ yang dilangsungkan di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini kelmarin.

“(Misalnya) Sekarang anak-anak muda (lelaki dan perempuan) naik motor bersama-sama jalan (bebas). Bawa balik ‘boyfriend’ ke rumah mak ayah tak rasa apa-apa. 

“Proses itu menjadi normal sehingga tak rasa apa-apa. Menormalkan perkara yang tak normal. Jadi proses normalisasi ni bahaya kerana nanti akan menjadikan kita menganggap ianya tidak apa-apa.

“Ini satu cabaran yang paling besar kita tengok pada hari ini. Cabaran besar yang perlu kita cerita bahawa kita ada batas Islam. ‘The do and the Don’t‘. Benda ni takat ni saja, boleh buat setakat ini saja,” ujarnya.

Isu-isu sedemikian akui beliau, menjadi satu cabaran besar kepada para guru dan pendakwah terutama dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya proses tersebut yang impaknya melahirkan budaya maksiat dan ketidakpedulian.

Terang beliau, hal seperti itu juga sebenarnya adalah fleksibel, namun apabila difokuskan kepada sesuatu larangan atau tegahan, maka proses normalisasi terhadap perkara itu menjadi sesuatu yang negatif.

“Menjadikan yang tak normal kepada normal. Macam baru-baru ini yang kita tengok ada satu adegan yang tidak tergambar daripada kalangan kita walaupun mereka ni orang Islam. Walaupun mereka ini berlakon (artis), tetapi lakonan itu yang ditunjuk bukan budaya Malaysia.

“Yang disebarkan. Walaupun melalui YouTube, FB, walaupun tidak ditayangkan di televisyen, tetapi perkara itu telah tersebar. Apa yang nak sampaikan? Menormalkan budaya yang tak normal kepada orang Islam. 

“(Dari) budaya yang tak boleh kepada supaya budaya itu boleh diterima,” ujarnya menyuarakan kekesalan dalam program yang turut diisi oleh pasangan pendakwah, Dato’ Dr Azhar Yaakob dan Dato’ Dr Norhafizah Musa. – HARAKAHDAILY 28/3/2022

- Advertisement -