Lesen perjudian di Kedah tamat berperingkat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan pihaknya telah memperbaharui lesen yang dipohon syarikat perjudian sebelum pengumuman dibuat kerajaan Kedah 14 November lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, perkara itu dimaklumkan MOF pada perbincangan yang diadakan tahun lepas.

- Advertisement -

“MOF adalah agensi yang meluluskan lesen perjudian, manakala kerajaan negeri boleh mengeluarkan dasar kepada PBT bagi pengawalan lesen premis sahaja.

“Dan setelah mengambil kira implikasi undang-undang, kerajaan negeri bersetuju semua lesen premis perjudian iaitu Ejen Agensi Nombor Ramalan (NFO) dan kelab persatuan di Kedah diberhentikan sehingga 31 Disember 2022 sebagaimana kelulusan MOF,” katanya pada persidangan Dun semalam.

Pada 14 November lepas Menteri Besar Dato’ Seri Muhamad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meluluskan lesen premis kepada mana-mana premis perjudian di negeri itu.

Dr Mohd Hayati berkata, selaras pengumuman tersebut, mesyuarat Exco bersetuju semua PBT di Kedah tidak memperbaharui lesen premis kepada semua premis perjudian di negeri itu.

Menurutnya juga tempoh persediaan sehingga hujung tahun ini diberi kerajaan negeri bertujuan untuk memberi peluang pengusaha lesen mencari alternatif perniagaan lain yang bersesuaian.

“Sehingga hari ini, daripada 45 lesen premis perjudian yang dikeluarkan kepada PBT, hanya 1 lesen premis perjudian tidak beroperasi dan telah ditutup.

“Manakala lesen premis lain yang masih mempunyai tempoh sah sehingga ke hari ini, lesen tersebut akan tamat secara berperingkat,” ujarnya.

Oleh itu katanya kerajaan negeri meminta PBT, Pentadbiran Daerah, Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan membuat pemantauan bagi memastikan Kedah tiada aktiviti perjudian menjelang 2023. – Warta Kedah

- Advertisement -