
KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperkenalkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) berjumlah RM35 juta untuk diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara bagi memangkin inisiatif bandar rendah karbon.
Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 untuk meraikan pihak PBT, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam menjayakan misi bandar rendah karbon, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 33 bandar sasaran dikenal pasti di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) mutlak yang tinggi.
Katanya, sehingga kini 70 PBT diberi pendedahan konsep dan pembangunan kapasiti menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Semoga aspirasi negara mencapai pelepasan sifar bersih GHG seawal tahun 2050 berjaya,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini. – HARAKAHDAILY 22/3/2022











