Hak-hak penyewa kediaman: Perjanjian sewaan (Bah. 1)

- Advertisement -

PADA 23 Februari lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, telah mengumumkan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman hanya akan dibentangkan di Parlimen selepas ia melalui proses rundingan dan libat urus yang efektif.

Adalah wajar Menteri tersebut bersikap berhati-hati tetapi Menteri dan Kementerian perlu mendengar pandangan semua pihak. Akta ini melibatkan pemilik kediaman dan penyewa justeru itu pandangan kedua-dua pihak perlu diambil kira dan akhirnya diputuskan dengan adil. 

- Advertisement -

Terdapat persatuan-persatuan dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kedua-dua belah pihak. Di antaranya adalah persatuan yang melibatkan pemaju perumahan (Real Estate And Housing Developers Association atau REHDA) dan juga yang melibatkan pembeli rumah (Housing Developers Association atau HBA ). Tetapi sebarang rundingan atau dialog perlu hingga ke peringkat akar umbi kerana isu ini adalah satu isu yang besar. 

Pandangan setiap mereka yang terlibat perlu diambil kira. Ketika pandemik COVID-19 masalah yang melibatkan sewaan kediaman begitu terserlah. Penyewa tidak dapat membayar sewa kerana kehilangan pendapatan akibat kehilangan pekerjaan, gaji dipotong atau kehilangan peluang berniaga. Terdapat pemilik kediaman pula yang menghadapi masalah untuk membayar balik pinjaman bank kerana penyewa gagal membayar sewa menurut jadual yang tetapkan.

Menteri perlu mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Dialog terbuka atau ‘town hall meeting’ perlu diadakan untuk mendengar rintihan mereka. Tidak memadai dengan hanya mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil persatuan di peringkat kebangsaan sahaja kerana belum tentu suara mereka di akar umbi akan didengari di peringkat kebangsaan. Menteri perlu turun ke bawah dan tidak mendengar pandangan sebelah pihak sahaja.

Sehingga akta ini diluluskan, tidak ada akta yang khusus untuk mengawal sewaan kediaman di negara kita. Rakyat terpaksa berpuas hati dengan akta-akta lain untuk melindungi kepentingan mereka. Walaupun hak-hak mereka terjamin di bawah akta-akta itu namun begitu tanpa satu akta yang khusus sudah tentu amat mengelirukan. Sudah tentu ada yang tidak jelas mengenai hak-hak mereka. Apakah sebenarnya hak-hak anda jika anda seorang penyewa? Apakah sebenarnya hak-hak anda jika anda seorang pemilik kediaman?

Kesemuanya bermula dengan perjanjian sewa (tenancy agreement) yang ditandatangani di antara pemilik kediaman dan penyewa. Perjanjian ini penting kerana ia menetapkan tanggungjawab dan hak-hak kedua-dua pihak. Selalunya perjanjian ini disediakan oleh pemilik kediaman dan sudah tentu kebanyakan pemilik mahu menjaga kepentingan mereka. Saya bukan berkata pemilik kediaman tidak akan mengambil kira kepentingan penyewa namun begitu ia terbuka kepada amalan-amalan yang tidak sepatutnya. Malah ada yang menyewa tanpa sebarang perjanjian hitam putih, hanya sekadar persetujuan lisan. Walaupun persetujuan lisan ini dikira sah namun ia merumitkan jika berlaku pertikaian.

Di sinilah betapa pentingnya akta yang baharu ini. Terkandung di dalamnya adalah perjanjian sewaan yang seragam seperti Perjanjian Jual Beli (Sales And Purchase Agreement atau SPA) untuk mereka yang membeli kediaman. SPA ini terkandung adalah sebahagian dari Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) Akta 118 atau Housing Development (Control And Licensing) Act. Setiap pemaju dan penjual perlu menggunakan perjanjian ini di dalam transaksi mereka. Tetapi untuk menyewa kediaman, terpulang kepada penyewa untuk meneliti syarat-syarat sewaan sama ada ia berat sebelah atau tidak. Terdapat blog-blog yang menasihatkan penyewa mendapatkan khidmat peguam dan mungkin ini jalan yang terbaik buat masa ini jika terdapat peguam yang dapat memberi khidmat sukarela atau mengenakan caj yang rendah. Walau bagaimanapun jika telah ada perjanjian yang seragam, penyewa tidak memerlukan khidmat tersebut.

Jika anda tidak mendapat khidmat seorang peguam, jangan terima sahaja perjanjian yang disediakan oleh pemilik kediaman. Ambil sedikit masa untuk menelitinya. Bincangkan dengan mereka yang memiliki pengalaman menyewa kediaman. Pastikan klausa-klausa di dalam perjanjian itu adalah adil untuk kedua-dua belah pihak. Jangan teragak-agak mengadakan perbincangan dengan pemilik rumah jika anda tidak bersetuju dengan klausa-klausa yang ditetapkan. Cadangkan klausa-klausa alternatif yang adil. Jangan merasa tertekan untuk menandatangani perjanjian tersebut kerana pemilik kediaman telah mengugut untuk memberi rumah itu kepada orang lain. Jika beliau boleh mengugut anda sebelum anda berpindah masuk, bayangkan apa yang beliau boleh lakukan setelah anda berpindah.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 17/3/2022

- Advertisement -