Perlis sasar Negeri Bandar Raya menjelang 2030

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

PADANG BESAR:
Padang Besar yang dahulunya dikenali sebagai kawasan pertanian bakal berubah wajah tidak lama lagi.

Projek Pembangunan Terminal Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bakal mengubah landskap ekonomi di kawasan berkenaan.

- Advertisement -

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah di samping PIP, Chuping Valley Industrial Area (CVIA) akan memberi impak ekonomi dalam sektor perindustrian dan logistik.

“Rakyat Perlis disaran mengambil peluang untuk turut terbabit dalam pembangunan PIP agar dapat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup,” titah baginda ketika merasmikan PIP dan Bonded Road di sini semalam.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Dato’ Seri Azlan Man.

Baginda turut berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Projek PIP akan melonjakkan ekonomi dan pembangunan negeri bagi mencapai sasaran Perlis Negeri Bandar Raya menjelang 2030.

“Syabas dan terima kasih kepada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, syarikat Mutiara Perlis Sdn Bhd dan pihak yang terlibat menjayakan pembangunan projek terbabit,” titah baginda.

Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk membina tiga komponen utama prasarana sokongan untuk PIP, iaitu Bonded-Road, Railway Spurline dan Flyover.

Projek bernilai RM1.2 bilion tersebut merupakan usahasama di antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat swasta milik Bumiputera. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -