Ramadan4Afghan: Solidariti Malaysia untuk Afghanistan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PASRelief akan menggerakkan kempen Ramadan4Afghan membantu saudara seagama khususnya untuk menyambut kehadiran bulan Ramadan tidak lama lagi.

Pengerusi PASRelief, Mohd Yusni Mat Piah berkata, kempen Ramadan4Afghan meletakkan sasaran sumbangan bantuan awal dan bantuan sepanjang bulan puasa kepada 1,000 keluarga yang sangat memerlukan di Afghanistan.

Katanya, kempen itu dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, petang semalam.

- Advertisement -

Menurutnya, selepas kejatuhan Republik Afghanistan Demokratik yang disokong oleh Rusia pada 1992, negara itu terjerumus dalam keadaan huru-hara peperangan.

Tambahnya, setelah 40 tahun peperangan, bencana alam berulang, kadar kemiskinan semakin meningkat dan wabak Covid-19 turut memudaratkan rakyat Afghanistan.

Mohd Yusni berkata, melalui data yang dikeluarkan oleh World Food Programme, IPC–Acute Food Insecurity Situation (29 Ogos 2021), dianggarkan sekitar 14 juta orang dalam kelaparan termasuk dua juta kanak-kanak yang kekurangan zat makanan.

“Ini menggambarkan bahawa satu pertiga atau 34 peratus populasi penduduk Afghanistan sedang menghadapi masalah kekurangan makanan,” ujarnya semalam.

Justeru, ujar beliau kempen dan usaha itu akan digerakkan bersama rakan strategik NGO di Malaysia bagi mencapai sasaran tersebut.

Tambahnya lagi, delegasi PASRelief dan rakan strategik NGO akan berlepas ke Afghanistan pada 15 sehingga 22 Mac ini bagi menyampaikan sendiri sumbangan dan bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada rakyat Afghanistan.

“PASRelief mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama kami menggerakkan kempen ini sebagai solidariti dan kebersamaan kita umat Islam di Malaysia bersama umat Islam di Afghanistan,” katanya.

Menurut beliau. sumbangan boleh disalur melalui akaun Maybank 56407061233 (PASRELIEF) dan sebarang maklumat boleh menghubungi Bendahari PAS Relief, Mohd Adram di talian 013-3845555. – HARAKAHDAILY 9/3/2022

- Advertisement -