
JOHOR BAHRU: Setelah empat hari turun berkempen di Felda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Roslan Nikmat turun bertemu mata dengan penduduk di Pulau Sibu.
Katanya, Pulau Sibu antara pulau yang mempunyai pemandangan indah dan menjadi salah satu tarikan pelancong ke Mersing ini.
“Fasiliti dan infrustruktur pelancongan yang menjadikan Pulau Sibu menjadi antara salah satu ‘wow’ sebagai tempat pelancongan,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Lan dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.
Usai ke Pulau Sibu, katanya beliau ke Pulau Tinggi menyantuni penduduk yang dianggarkan seramai 210 orang.
Menurutnya, Pulau Tinggi merupakan salah satu daripada enam gugusan pulau dalam Taman Laut Mersing yang mempunyai kehalusan pasir pantai serta keindahan batu karang yang sihat dan cantik.
“Semasa di Pulau Tinggi tadi, Cikgu terima banyak aduan antaranya ialah keadaan lantai jeti yang menjadi laluan utama kepada penduduk dan pengunjung pulau tersebut yang sudah uzur.
“Insya-Allah isu keselamatan penduduk dan pengunjung pulau ini akan diangkat kepada pihak berwajib supaya dapat diperbaiki,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.
Menurut Cikgu Lan, suara rakyat menjadi keutamaan beliau setelah dipilih oleh rakyat di DUN Tenggaroh untuk diangkat ke Sidang Dewan Undangan Negeri Johor.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kali ini, Cikgu Lan berdepan dengan Mohd Firdaus Abd Rahman (Pejuang), Zulinah A. Johari (PKR) dan Raven Kumar Krishnasamy (BN).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari mengundi PRN Johor. – HARAKAHDAILY 8/3/2022











