
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah mendapat laporan penuh daripada Jabatan Perhutanan negeri hari ini berkaitan banjir puing yang berlaku di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud.
Menurutnya, siasatan pada 1 Mac lalu di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud membuktikan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana berlaku di kawasan cerun sungai tersebut dan didapati tiada aktiviti pembalakan di kawasan kejadian.
“Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ini, jelas beliau disebabkan faktor hujan lebat yang turun selama lima hari berturut-turut mulai 23 sehingga 27 Februari lalu yang mencecah 1,000 mm.
Beliau berkata, geliciran tanah runtuh dianggarkan bersaiz panjang 100 meter, lebar 50 meter dan tebal lima hingga 10 meter sementara aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang.
Tambahnya, mesyuarat penyelarasan pasca bencana telah dijalankan dan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kayu sedang giat dilakukan oleh pelbagai agensi yang berkaitan manakala pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa dijalankan bagi mengawasi keadaan.
“Semoga kenyataan ini dapat menjelaskan dan menjernihkan isu yang berlegar sehari dua ini dalam media sosial,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2022











