BWI diagih mangsa banjir di Terengganu, Kelantan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 akan diberi segera kepada 7,651 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu akan diberi kepada kesemua mangsa yang terlibat sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.

“Semasa gelombang pertama kerajaan telah beri RM1,000 kepada mangsa yang berpindah dan mereka yang terjejas walaupun tidak berpindah.

- Advertisement -

“Dan untuk mangsa yang berpindah kita harap nama didaftarkan dan kita akan berusaha untuk membuat pemberian secepat mungkin kepada mangsa yang berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebagsaan Gelang Mas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, memahami nasib yang sedang menimpa rakyat sekarang bantuan tunai sebanyak RM2,500 turut akan diberi untuk pembelian barangan asas rumah kepada mereka yang terjejas.

Manakala, bagi rumah yang rosak bantuan tidak melebihi RM5,000 boleh menuntut wang tunai untuk tujuan membaiki kerosakan yang dialami.

Manakala, bagi rumah yang rosak dengan nilai antara RM5,000 hingga RM15,000 mereka perlu melaporkan kepada Pejabat Daerah untuk untuk dibaiki oleh pihak terlibat.

“Dari segi pembaikian rumah kita ada tiga ketagori antaranya bagi rumah yang rosak dari RM5,000 mungkin hanya mengalami kerosakan pintu dan sebagainya mereka boleh membuat tuntutan tunai bagi membaiki kerosakan tersebut.

“Namun, bagi mangsa banjir yang mengalami kerosakan RM5,000 hingga RM15,000 mereka perlu melaporkan kepada Pejabat Daerah dan akan dibaiki oleh pihak terlibat,” katanya.

Selain itu juga kata beliau baucer berjumlah RM500 turut akan diberikan untuk pembelian peralatan elektrik selain baucer RM1,000 untuk membaiki kenderaan.

Menurutnya baucer kenderaan juga boleh digunakan sebagai pembayaran deposit sekiranya mereka ingin membeli kenderaan baharu. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -