
AHAD lalu, 27 Februari 2022, Negeri Pahang kehilangan sebutir mutiara berharga apabila seorang ulamak hadis menghembuskan nafasnya yang terakhir sebaik masuk waktu solat fardu Maghrib.
Maulana Saad Muhammad dari Kampung Batu Sawar, Temerloh kembali ke rahmatullah pada malam sambutan Israk dan Mikraj akibat serangan COVID-19.
Menurut catatan dalam kad pengenalan, Maulana Saad dilahirkan pada 14 September 1939 di Kampung Lebak, Temerloh.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lebak. Kemudian meneruskan pengajian di Madrasah Al-Khairiah, Temerloh dan Kuliyah Lughah Wad-Din, Pekan. Maulana Saad seterusnya bermusafir ke Pulau Pinang untuk menyambung pengajiannya di Madrasah Al-Mashur.
Tidak cukup di peringkat itu, beliau berusaha sendiri mencari kewangan untuk meneruskan pengajian di luar negara. Pada tahun 1960, beliau memulakan perantauan solonya dengan menaiki kapal laut menuju ke Madras (kini Chennai), India.
Tiba di Madras beliau mencari pusat pengajian yang boleh menerimanya untuk belajar. Maulana Saad diterima belajar di Madrasah Jamiah Baqiyatus Salihat yang terletak di Vellore dalam wilayah Tamil Nadu selama setahun.
Pada tahun berikutnya beliau berhijrah ke Darul Ulum Deoband yang terletak dalam wilayah Uttar Pradesh, Utara India. Perjalanan sejauh 2,314 km diharunginya demi untuk mengejar cita-citanya mendalami ilmu hadis.
Darul Ulum Deoband sememangnya terkenal sebagai pusat pengajian Islam sejak tahun 1866. Kaedah pengajian di sana dituruti oleh kebanyakan pusat pengajian Islam seluruh India dan Pakistan. Hari ini pengajian seumpama ini dikenali sebagai pengajian Deobandi.
Nama beliau sebagai orang lama dalam pengajian Deobandi masih terpahat dalam rekod pelajar di India, menyebabkan ramai tokoh dari luar negara datang ke Pahang untuk mendapatkan sanad hadis daripadanya.
Beliau berguru dengan ulamak-ulamak besar India seperti Maulana Akhtar Husein, Maulana Fakhrudin Ahmad, Maulana Naem, Maulana Hamid Mian, Maulana Nasir Ahmad Khan dan lain-lain.
Maulana Saad juga sempat belajar hadis dari muhaddith terkenal, Maulana Zakariyya Al Kandahlawi. Beliau menghadiri majlis khatam Sahih Al Bukhari di Saharanpur. Bahkan berpeluang makan tengahari dan bermalam di rumah ahli hadis berkenaan.
Maulana Zakariyya (1898-1983) ialah tokoh yang menjadi rujukan dalam ilmu hadis pada zamannya. Beliau mengarang puluhan kitab yang menjadi panduan dalam ilmu hadis.
Antaranya yang beliau sempurnakan dari penulisan bapanya Syeikh Muhd Yahya Ismail Al Kandahlawi, Aujaz al-Masalik syarah kepada Muwatta’ Imam Malik (18 jilid), Ta’liqat ala Syarah Sunan Abi Daud (14 jilid), Syarah Syama’il Muhammadiyah dan lain-lain.
Maulana Zakariyya meninggal dunia di Madinah pada bulan Syaaban 1402 bersamaan 1983M dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’.
Maulana Saad sezaman dengan beberapa orang tokoh ulamak tanah air yang belajar bersamanya di Darul Uloom. Kebanyakan mereka telah meninggal dunia. Antaranya Al Marhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Al Marhum Dato’ Ishak Baharum, Maulana Lambak, Ustaz Ramli Muhammad dan lain-lain.
Dalam PRU 1999, Ustaz Ramli hampir-hampir menewaskan Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen Pekan. Walaupun sudah uzur, namun masih aktif dalam dunia pendidikan di Kampung Nenasi, Pekan.
Difahamkan bahawa Ustaz Ramli dan Maulana Saad memperoleh anugerah ‘Al-Fadhil’, iaitu satu pencapaian yang tinggi dalam pengajian hadis di India.
Maulana Saad menamatkan pengajiannya di Darul Uloom Deoband pada tahun 1966. Pada tahun 1973 hingga 1974, Maulana Saad berpeluang menyambung pengajian di Kuliah Syariah Universiti Al Azhar Mesir.
Di Mesir, beliau sempat belajar bersama rakan senegeri iaitu Dato’ Haji Sulaiman Ahmad. Dato’ Sulaiman yang berasal dari Kampung Telok Sentang kemudiannya menjadi Mufti Pahang ke tujuh (1998-2007).
Maulana Saad mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Puan Zabariah Mat Ali. Pengkongsian hidup antara mereka dianugerahkan 9 cahaya mata, 5 lelaki dan 4 perempuan.
Dua orang anak perempuannya meninggal dunia sewaktu kecil. Manakala seorang anak lelaki, meninggal dunia 4 bulan lalu setelah beberapa tahun lumpuh. Anak itu ialah Al Marhum Ustaz Suaadi Saad, seorang aktivis dalam Dewan Ulamak PAS Pahang dan juga aktivis Yayasan Amal Malaysia.
Seorang lagi anak beliau juga diuji dengan penyakit lumpuh iaitu Ustaz Ahmad Ruwaidi Saad, guru Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang.
Dalam bidang pendidikan Maulana Saad pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah kerajaan sebagai guru. Malangnya beliau tidak pernah dilantik ke jawatan tetap. Terakhir beliau adalah Mudir Madrasah Saadah Ad Darain, Sungai Gau.
Dalam perjuangannya, Maulana Saad pernah diamanahkan sebagai Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang dan Setiausaha PAS Kawasan Temerloh.
Semoga Allah merahmati Al Marhum dan mengiringi pemergiannya ke alam abadi dengan keampunan dan kasih sayang-Nya.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Lajnah Dakwah
Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 1/3/2022











