
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Dua sungai utama di Kelantan melepas paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Jenob di Tanah Merah.
Menurut laman public info banjir, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini meningkat kepada 10.71 meter berbanding 10.52 meter pagi tadi.
Begitu juga Sungai Golok di Jenob pula mencatat bacaan bahaya 26.59 meter berbanding 24.47 meter pagi tadi, manakala Sungai Golok di Kuala Jambu masih paras berjaga-jaga.
Sungai Kelantan di Tangga Krai masih pada paras amaran, 24.32 meter, Jambatan Guillermard pula 15.94 meter dan Tambatan Diraja pada paras berjaga-jaga, 3.95 meter.
Sungai Galas di Dabong dan Sungai Lebir di Tualang kini berada pada paras amaran, 35.02 meter dan 33.55 meter sementara Sungai Semerak Pasir Puteh tahap berjaga-jaga 2.13 meter.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka berlaku membabitan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, hingga hari ini.
Sementara itu situasi banjir di Kelantan semakin buruk di mana petang ini seramai 4,818 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menunjukan trend peningkatan berbanding pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 2.21 petang tadi, mangsa terdiri dari 1,578 lelaki dewasa; 1,563 perempuan; 772 kanak-kanak lelaki dan 763 kanak-kanak perempuan.
Selain itu jumlah itu turut meliputi seramai 77 bayi lelaki; 65 bayi perempuan; 133 warga emas lelaki; 173 warga emas perempuan; 15 orang kurang upaya (OKU) lelaki dan 12 OKU perempuan.
Semua mangsa terbabit daripada 1,696 keluarga itu kini ditempatan di 52 PPS di lima daerah terlibat bencana itu iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Machang.
Portal ebanjir Kelantan, menunjukkan Pasir Mas mencatat peningkatan mendadak mangsa banjir berikutan hujan lebat dengan 1,112 penduduk berpindah ke enam PPS.
Sementara itu Kuala Krai merekodkan 458 mangsa banjir ditempatkan di sembilan PPS, manakala Tanah Merah pula 399 orang di 11 PPS.
Jeli mencatat 268 mangsa banjir ditempatkan di empat PPS, Pasir Puteh merekodkan 115 mangsa di enam PPS dan Machang 51 mangsa ditempatkan di dua PPS.
Dalam pada itu sebanyak enam laluan di Pasir Mas di tutup kepada semua kenderaan, Jalan banggol Kulim Rantau Panjang, Jalan Pengkalan Rakit – Batu karang, Jalan Sekolah Cina, Jalan SK Gual Tok Deh, Jalan Balai Polis Jeram Perdah dan Jalan Bukit Tuku Batu Hampar.
Manakala empat laluan by pass Banggol Kulim, Jalan Panglima Bayu Rantau Panjang Jeram Perdah, Jalan Kota Bharu Pasir Mas Rantau Panjang masih ditutup kepada kenderaan ringan.
Di Machang, Jalan Machang Pangkal Meleret Wakaf Bata, Jalan Pangkal Meleret Limau Hantu dan Jalan Sungai Mati Kerawang ditutup kepada semua kenderaan. Di Pangkal Gong Kemubu dan Batu 30 Temangan (Pangkal Chuit) ditutup kepada kenderan ringan sahaja.
Tiga jalan ditutup di Tanah Merah, iaitu Jalan Panglima Bayu Rantau Panjang dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah yang ditutup kepada semua kenderaan, serta Jalan Tanah Merah Kusial Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan.
Tiga jalan di Kuala Krai kini diletakkan papan tanda amaran seperti Jalan Jirat, Jalan masuk Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh, Kampung Bedal dan Kuala Nal.
Dua laluan di Pasir Puteh iaitu Jalan Pasir Puteh Jelor ditutup kepada kenderaan ringan dan Jalan Semerak di Kampung Gong Chapa pula ditutup kepada semua kenderaan. – HARAKAHDAILY 27/2/2022











