Mesra masyarakat antara kriteria pemilihan calon

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

JOHOR BAHRU:
PAS mengambil kira hubungan dengan masyarakat dalam mengemukakan calon bagi mewakili Perikatan Nasional untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kali ini.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin berkata, hubungan yang mesra dengan masyarakat adalah antara kriteria yang penting bagi calon daripada parti itu yang disenaraikan untuk menyertai PRN negeri.

“Kriteria penting, rapat dengan masyarakat, mesra dengan masyarakat. Turun padang dan sebagainya. Itu salah satu yang kita ambil kira, maknanya salah satu dari pelbagai aspek kita lihat.

- Advertisement -

“Tapi itu satu aspek yang penting, ketrampilan dia dengan masyarakat, itu kita ambil kiralah,” ujarnya kepada Harakahdaily semasa ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Calon Perikatan Nasional PRN Johor 2022 di sini, petang semalam.

Mengenai semua calon daripada PAS, beliau berkata ia terdiri daripada pelbagai golongan seperti ulama, profesional, aktivis parti, lelaki, perempuan termasuk bukan Islam.

“Jadi pelbagai kebolehan. Itu kita gabungkan, golongan senior ada, junior ada. Semua ada,” katanya yang turut dicalonkan bertanding di DUN Pulai Sebatang.

Menurutnya, dengan kepelbagaian kebolehan masing-masing itu dapat membantu kerajaan negeri sekiranya mendapat mandat pada PRN ini.

Pada PRN Johor kali ini, 15 calon Perikatan Nasional adalah daripada PAS, Bersatu (33) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 25/2/2022

- Advertisement -