Rakyat Johor perlu pertahan kejayaan kerajaan PN

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menerajui negara sebelum ini wajar dipertahankan rakyat Johor pada 12 Mac ini.

Setiausaha PAS Ketereh, Mohd Asri Yunus berkata, kerajaan PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengurangkan penderitaan rakyat ketika berdepan dengan penularan Covid-19.

Katanya pelbagai pakej diperkenalkan kepada rakyat termasuk Prihatin, Penjana, Permai, i-Lestari, i-Sinar dan pelbagai lagi.

- Advertisement -

“Pakej tersebut sedikit sebanyak dapat membantu rakyat ketika ramai hilang pekerjaan kerana penularan wabak Covid-19,” katanya selepas majlis Penyerahan Bantuan Cakna Hawa di Wisma Tok Wali di sini hari ini.

Program tersebut dikelolakan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (Ukekwa).

Mohd Asri yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Melor berkata, kejayaan kerajaan PN sewajarnya dijadikan panduan rakyat Johor bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.

Menurutnya PN menekankan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran dalam kerajaan, di samping mengutamakan kebajikan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Sepatutnya kita berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana banyak perubahan yang dilakukan, termasuk pelupusan 80 peratus hutang peneroka Felda.

“Rakyat Johor sepatutnya boleh membuat penilaian semasa pemerintahan BN sejak merdeka dan pentadbiran PN walaupun pentadbirannya tidak lama,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan PN berjaya melakukan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan judisiari apabila tidak campur tangan pendakwaan pemimpin politik di mahkamah.

Katanya ia merupakan kejayaan besar di mana beberapa kes berprofil tinggal melibatkan tokoh politik dihadapkan ke muka pengadilan. – HARAKAHDAILY 24/2/2022

- Advertisement -