Air mata terharu sempena ziarah kasih Siti Zailah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengucapkan tahniah kepada para pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kluang (PKMDK) yang sentiasa tabah dan bersemangat menyantuni golongan yang memerlukan.

“Pasti Allah akan balas jasa bakti kalian dengan kebaikan di dunia dan akhirat,” ujarnya menerusi laman Facebook semalam susulan lawatan ke PKMDK, kelmarin.

- Advertisement -

Dalam pada itu, PKMDK menerusi laman Facebook turut menyiarkan coretan ‘Air mata terharu’ susulan lawatan Siti Zailah itu.

Air mata terharu adalah reaksi tuan rumah ketika saat berbicara dengan timbalan menteri tersebut dalam ziarah kasih sempena lawatan sehari ke daerah Kluang.

Menurut PKMDK pada ziarah kasih pagi itu, Siti Zailah telah menyantuni dua pesakit terlantar iaitu dua ibu tunggal warga emas dan satu lagi OKU yang bekerja.

Siti Zailah menyampaikan surat kelulusan bantuan bulanan kepada penama yang dikunjungi dengan nilaian di antara RM450 hingga RM500.

Turut mengiringi Siti Zailah ialah Timbalan Ketua Pengarah JKM dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang selain Pegawai Agama Islam Daerah Kluang yang memimpin bacaan doa selamat ke setiap rumah yang dikunjungi.

Ziarah kasih yang diadakan itu mengambil masa sekitar dua jam dalam kesempatan bertemu mata dan bertanya khabar serta sedikit tazkirah yang disampaikan sendiri oleh timbalan menteri.

PKMDK berharap semoga ziarah kasih itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan memanfaatkan para penerima bantuan bulanan JKM agar sentiasa kuat dan sentiasa bersyukur.

“Terima kasih kepada semua ketua jabatan dan para kakitangan terutama pegawai kes yang siap sedia membantu terutama sewaktu sepanjang program ini berjalan,” ujar PKMDK lagi. – HARAKAHDAILY 22/2/2022

- Advertisement -