
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Umat Islam diajak bersatu hati berprinsip menyatakan, sebarang individu yang memeluk Islam tidak boleh dimurtadkan.
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminudin Yahya, berkata isu membabitkan kanak-kanak beragama Islam, namun berada di bawah penjaga bukan Islam memerlukan penyatuan rentas parti.
Katanya, walaupun pencabaran keislaman kanak-kanak yang mempunyai penjaga bukan Islam belum berlaku, namun tidak mustahil situasi itu akan berlaku kelak.
“Mahkamah telah mengeluarkan keputusan habeas corpus bagi penjagaan anak, di mana ianya tidak berpihak kepada kita. Kita berlapang dada dan menerima keputusan ini walaupun dalam kekecewaan.
“Walaupun, pencabaran keislaman anak-anak tersebut tidak berlaku pada hari ini tetapi dalam suatu kes yang berbeza mungkin (berlaku) tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, kata Aminudin, umat Islam perlu membuat persediaan yang rapi memandangkan kes ini menjadi keutamaan, penting dan kritikal.
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh Loh Siew Hong bagi mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Loh selepas mendengar hujahan daripada peguamnya dan peguam yang hadir mewakili Nazirah Nanthakumari Abdullah. – HARAKAHDAILY 21/2/2022











