
Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 31)
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
IMAM Al-Baihaqi mengeluarkan daripada Jarir bin Abdullah Al-Bajaliy RA bahawa seorang lelaki ikut berperang bersama Abu Musa al-Asy’ari. Mereka mendapat harta rampasan perang. Abu Musa agih bahagian lelaki itu kepadanya tetapi tidak cukup. Dia enggan menerimanya melainkan dia dapat kesemuanya. Abu Musa memukulnya dengan tongkat sebanyak 20 sebatan, dan membotakkan kepalanya.
Lelaki itu mengumpulkan rambutnya, dan membawanya kepada Umar RA. Dia mengeluarkan rambutnya dari poket dan menepukkannya ke dada Umar.
Umar bertanya: “Kenapa kamu ni?”
Lelaki itu menceritakan kisahnya.
Umar menulis surat kepada Abu Musa:
سلام عليك، أما بعد: فإن فلانا بن فلان أخبرنى بكذا وكذا، وإنى أقسم عليك إن كنت فعلت ما فعلت فى ملأ من الناس الا جلست له فى ملأ من الناس فاقتص منك، وإن كنت فعلت ما فعلت فى خلاء فاقعد له فى خلاء فليقتص منك
“Salam sejahtera. Si fulan bin si fulan beritahu aku berita demikian-demikian. Aku bersumpah, jika engkau buat apa yang engkau buat di khalayak ramai, melainkan engkau dibalas balik di depan khalayak ramai. Jika engkau buat apa yang engkau buat secara tersembunyi, engkau mesti duduk di depannya dan biarkan dia balas.”
Apabila surat diberi kepada Abu Musa al-Asy’ari, dia duduk untuk menerima balasan daripada lelaki tadi.
Lelaki itu berkata: “Aku maafkannya kerana Allah.” (Kehidupan para Sahabat, Al-Kandahlawi 2/99)
Beberapa pengajaran dari kisah di atas:
1) Seorang yang mendapat harta rampasan perang, dia layak menerima secara penuh. Soalnya, kenapa Abu Musa al-Asy’ari tidak mencukupkan bahagiannya? Mungkin Abu Musa al-Asy’ari ada jawapannya. Wallahu a’lam.
2) Dalam konteks semasa, pegawai yang bertugas yang layak menerima sesuatu peruntukan boleh menuntut haknya daripada majikan dengan cara yang wajar. Sementara majikan pula sepatutnya memberikan hak kepada yang berhak sepenuhnya.
3) Seorang ketua, pemimpin, majikan tidak boleh menghukum pegawai, stafnya dengan sesuka hati, melainkan mestilah secara adil.
4) Ketidakpuasan hati seorang pegawai boleh diadukan kepada orang yang lebih tinggi daripada ketua yang melakukan kesalahan, menurut hirarki sesuatu organisasi.
5) Tindakan segera mesti diambil oleh pihak yang diadukan supaya kes yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik dan segera. Jangan lengahkan perbicaraan.
6) Pemimpin perlu sentiasa memantau tugasan yang dibuat oleh para pegawainya agar keadilan terus tegak dalam sesebuah pentadbiran dan pemerintahan. – HARAKAHDAILY 17/2/2022
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.











