
NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
ARAU: Tindakan larangan berhijab di beberapa pusat pengajian di Karnataka, India mencetuskan bantahan masyarakat Muslim di seluruh dunia.
Pengarah Ameerah Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim berkata, hijab bukan semata-mata sehelai kain menutup kepala sahaja, sebaliknya ia lambang maruah dan harga diri wanita.
“Kenapa ada pihak melarang berhijab walhal ia tidak menyusahkan sesiapa pun,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.
Menurut laporan media baru-baru ini ketegangan berlaku apabila pelajar Islam di sebuah kolej dilarang memakai tudung menyebabkan kemarahan orang awam.
Isu tersebut turut merebak ke kolej-kolej lain di Karnatakaapabila. Ekoran itu Ketua Menteri Karnataka, Basavaraj Bommai mengeluarkan arahan menutup kolej tersebut selama tiga hari.
Malah beliau merayu semua pelajar, guru dan pengurusan sekolah dan kolej serta penduduk Karnataka mengekalkan keamanan dan keharmonian.
Kejadian ini turut mendapat perhatian Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai yang disifatkannya sebagai tindakan yang mengerikan.
Puteri Fatin juga berkata, Ameerah Perlis berharap konflik tersebut diselesaikan dengan baik oleh pihak berwajib di negara terbabit.
“Pelajar dan masyarakat Muslim di Karnataka sewajarnya dapat meneruskan kehidupan beragama dengan aman.
“Ini kerana Islam tidak pernah mengamalkan diskriminasi kepada agama lain, malah sering mengajak perpaduan kaum dan hidup dengan harmoni,’ ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2022











