Edar beg guna semula sahut Kempen Bebas Beg Plastik

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu menyemarakkan kempen menjaga alam sekitar di mana akan mengadakan edaran beg guna semula secara percuma untuk para pelanggan di pasaraya terpilih.

Maklum beliau, inisiatif tersebut akan dimulakan pihaknya di Pasaraya Irsyad, Balok dan Pasarata Smart, Semambu di sini masing-masing pada jam 9:30 pagi dan sekitar 12:30 tengahari pada Ahad nanti.

- Advertisement -

“Beg ini besar, cukup tebal, insya-Allah tahan lama. Boleh gunakan untuk mengisi barangan keperluan yang dibeli di pasar basah, pasar mini atau pasaraya. Kuantiti tak banyak. Ada kira-kira 2,000 semua sekali. 

“Selepas itu edaran akan dibuat secara berperingkat ke pasar mini dan pasaraya seterusnya untuk diberikan kepada para pelanggan masing-masing. 

Terpulang kepada pasaraya bagaimana untuk mengagihkannya. Mungkin kepada kumpulan pelanggan terawal. Siapa cepat dia dapat,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Maklum beliau, inisiatif ini diambil sebagai menyahut Kempen Bebas Beg Plastik di negeri ini bermula tahun 2022 dan juga sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan ahli masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar.

Menurut beliau, usaha itu juga seiring dengan ajaran agama Islam serta menepati kempen di peringkat global di mana berharap sedikit usaha serta kempen kesedaran ini dapat memberi dorongan kepada pihak-pihak lain untuk menjayakan kempen seumpama. 

“Semoga penjagaan alam sekitar akan menjadi amalan norma baharu kita, malah menjadi budaya masyarakat kita, insya-Allah,” harap beliau. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

- Advertisement -