Tambah baik silibus pendidikan selaras Undi 18

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Silibus pendidikan negara perlu ditambah baik selepas Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada warganegara berumur 18 tahun mengundi.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu bagi memupuk kesedaran golongan tersebut untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Katanya, kerajaan hendaklah mengkaji semula silibus pendidikan memandangkan sekarang pelajar hanya memberi fokus kepada pelajaran sahaja, sebaliknya perkembangan isu semasa tidak diikuti.

- Advertisement -

“Jadi kerajaan kena lihat semula, kena susun satu kaedah bagaimana pelajar-pelajar lebih peka dengan perkembangan semasa dan tahu apabila mereka hendak pilih, dan bukan atas sentimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada pelajar menjalani kuarantin kendiri di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (Yik) di Kampung Telong, Kandis hari ini.

Hadir sama Pengarah Yik, Engku Rajhan Engku Ismail dan Pengetua Pusat Pengajian Pondok Yik, Mohamad Noor.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hampir enam juta pengundi didaftarkan secara automatik pada usia 18 tahun dan mereka layak mengundi.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, sekolah-sekolah Yik sudah lama merintis langkah bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pelajarnya terhadap kepentingan mengundi bagi kepentingan negara.

“Pelajar sekolah Yik kita memberi pendedahan kepada mereka mengenai perkembangan semasa khususnya dalam kegiatan kokurikulum,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/2/2022

- Advertisement -