Projek Air Komuniti beri manfaat penduduk pedalaman

- Advertisement -

GUA MUSANG: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta tahun lepas bagi menyediakan infrastruktur bekalan air kepada penduduk yang mengalami masalah.

Peruntukan tersebut memberi manfaat kepada 2,500 rumah di seluruh Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, selain itu RM1.3 juta bagi membina sembilan projek Bekalan Air Komuniti.

- Advertisement -

Katanya ia membabitkan empat projek di Tanah Merah, masing-masing dua projek di Machang dan Gua Musang serta satu projek di Bachok.

“Projek Bekalan Air Komuniti melibatkan pembinaan sumber air alternatif termasuk telaga tiub, tangki air dan sistem paip bagi membekal air kepada penduduk.

“Manakala peruntukan lain iaitu pemasangan paip sepanjang 25 km melibatkan kos RM2.8 juta dan projek pemasangan paip komunikasi ke rumah golongan B40 melibatkan kos RM0.5 juta,” pada majlis Penyerahan Projek Komuniti Bekalan Air (PKBA) di Kampung Jerek dekat sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad, Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang Ab Pattah Hasbullah, Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Zaini Hussin dan Pengarah Jabatan Sumber Air Tengku Sharifuddin Tengku Shah Buddin.

Projek Bekalan Air Komuniti di Kampung Jerek dilaksanakan pada Julai tahun lepas dan siap sepenuhnya November 2021.

Azami juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM180,000 bagi pembinaan dua Unit Sistem Bekalan Air yang melibatkan telaga tiub, tangki air dan sistem elektrikal dan mekanikal.

Manakala Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula memperuntuk RM70,000 untuk pembinaan sistem paip ke rumah penduduk.

“Pelaksanaan projek tersebut memberi manfaat kepada 120 rumah penduduk di Kampung Jerek,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2022

- Advertisement -