Kilang kitar semula logam dikenakan tindakan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR:
Sebuah kilang pemprosesan kitar semula logam di Rasa, Hulu Selengor dikenakan tindakan, semalam berikutan alat pemantauan prestasi bagi sistem kawalan pencemaran udara tidak berfungsi.

Hasil siasatan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga mendapati kilang tersebut tidak mengikut pelan susun atur yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila membiarkan kawasan penyimpanan buangan terjadual bercampur dengan bahan mentah.

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berikutan hasil siasatan berkenaan terdapat beberapa tindakan segera diambil semasa lawatannya bersama wakil JAS Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan pihak polis, semalam.

“Tindakan yang diambil adalah seperti Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran dan membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Selain itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 16(1), AKAS 1974 bagi kesalahan melanggar syarat-syarat lesen dan notis arahan di bawah Seksyen 31(1) AKAS 1974 dikeluarkan supaya pihak kilang mematuhi syarat-syarat lesen termasuk membuat penambahbaikan terhadap Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) bagi mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tuan Ibrahim, tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima pihaknya melalui Facebook pada Isnin.

Beliau memberi jaminan bahawa JAS Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor akan terus memantau dan menguatkuasa peraturan yang ditetapkan ke atas premis berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/2/2022

- Advertisement -