
MELAKA: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM13,320,705.60 kepada imam, bilal, noja, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Melaka pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, bayaran khas sebanyak RM500 secara one-off diteruskan lagi pada tahun ini kepada imam, bilal, noja dan guru takmir negeri seramai 905 orang penerima yang melibatkan peruntukan sebanyak RM452,500 bagi menghargai sumbangan mereka ini dalam pengimarahan masjid khususnya di Negeri Melaka.
“Insya-Allah bayaran khas ini akan disalurkan kepada penerima sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini,” ujarnya Ketika berucap pada Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Masjid Al-Azim, hari ini. Multaqa itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ketua menteri dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri atas komitmen yang sangat tinggi dalam penganjuran majlis itu.
Idris juga mengucapkan setinggi penghargaan buat para murabbi ummah negeri ini yang terdiri dalam kalangan imam, guru takmir, guru KAFA, guru institusi pondok dan tahfiz, penyelaras pentadbiran masjid daerah, pegawai masjid dan penyelia KAFA.
Menurutnya lagi, caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi pakej program perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Perkeso juga diteruskan lagi tahun ini kepada imam, bilal, noja dan guru takmir negeri seramai 777 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM180,885.60 setahun.
Tambahnya, peruntukan bagi imbuhan imam seramai 377 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3,845,400 dan elaun guru takmir seramai 235 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2,538,000 bagi negeri Melaka telah pun disalurkan pada 7 Januari lalu bagi agihan suku pertama tahun ini.
Katanya, keseluruhan peruntukan kewangan bagi imam, bilal, noja dan guru takmir negeri bagi tahun ini adalah sebanyak RM7,016,785.60 yang melibatkan seramai 2,294 orang penerima.
Beliau berkata, kerajaan sangat menghargai sumbangan guru KAFA dalam membentuk generasi dengan menyalurkan bayaran bantuan khas tahun ini sebanyak RM800,000 kepada 1,600 orang guru KAFA di negeri ini yang telah mencurah bakti mendidik anak bangsa.
“Manakala jumlah peruntukan elaun guru KAFA bagi Negeri Melaka pada tahun 2022 ini adalah sebanyak RM5,503,920.00 yang melibatkan seramai 1,600 orang,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, peranan guru KAFA sebagai murabbi ummah di enegri ini tidak dapat dinafikan lagi.
Katanya, peranan mereka adalah mendidik kanak-kanak pada peringkat awal untuk memastikan generasi masa depan negara mempunyai asas agama yang kukuh.
Beliau menambah, ini sangat signifikan dengan objektif pelaksanaan KAFA supaya kanak-kanak Islam berumur tujuh hingga 12 tahun di negara ini dapat menguasai asas ilmu aqidah, ibadah, akhlak, fardhu ain dan lain-lain asas agama dengan baik.
Katanya lagi, hari ini masyarakat berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk gejala sosial yang amat membimbangkan.
“Oleh kerana itu, kita semua perlu memperkuatkan asas agama kepada masyarakat kita khususnya di kalangan anak-anak kita,” ujarnya.
Menurut beliau, pendidikan agama menjadi asas kepada anak-anak mengenal Allah.
“Pendidikan agama menjadi asas, anak-anak kita mengenal pahala dan dosa. Maka dengan sebab itu, kita akan terus berusaha melonjak dan memperkasa pendidikan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2022











