Tabung Haji komited bantu masyarakat Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak pengurusan dan warga Tabung Haji (TH) kerana sentiasa komited memainkan peranan membantu masyarakat Islam.

Katanya, TH bukan sahaja dalam menjaga kebajikan jemaah haji negara malah turut membantu masyarakat Islam serta para asnaf melalui pelbagai program zakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) setiap tahun.

“Keprihatinan TH yang bukan sahaja setakat menjaga kebajikan para jemaah haji negara setiap tahun, malah turut berkongsi semula hasil kejayaan yang diperolehi ini amat bertepatan dengan suruhan Islam yang meminta kita saling membantu antara satu sama lain.

“Saya memuji usaha TH melalui Program Mobiliti ini yang saya lihat amat baik atas hasrat untuk membantu pelaksanaan fardu kifayah dan juga fardu ain dalam kalangan masyarakat,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Perdana Serahan Van Program Mobiliti TH di Dewan Besar, Menara TH Tun Razak, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin.

- Advertisement -

Beliau juga bersyukur TH sedar akan kepentingan fardhu kifayah dan mengambil inisiatif menyumbang kenderaan van ke masjid-masjid sebelum ini untuk pengurusan jenazah, selain untuk kegunaan ahli kariah pergi menghadiri kelas-kelas agama atau fardhu ain serta aktiviti lain yang berfaedah.

Menurutnya, usaha TH memperluaskan lagi sumbangan program mobiliti itu melalui sumbangan van penumpang kepada badan-badan kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah penjagaan OKU juga amat bertepatan.

Ini, ujarnya kerana terdapat banyak badan-badan kebajikan di Malaysia yang tidak mempunyai pengangkutan yang selamat dan sesuai untuk para penghuni mereka menjalankan aktiviti harian.

Tambahnya, melalui sumbangan 25 buah van penumpang itu, seramai 1,582 orang yang terdiri daripada penghuni badan kebajikan tersebut mendapat manfaat untuk kegunaan penggangkutan yang selesa buat mereka.

“Tidak dinafikan banyak badan kebajikan yang masih kekurangan dana untuk membeli kenderaan sendiri dan sejak wabak Covid-19 melanda negara pada akhir 2019, saya percaya sumber kewangan mereka turut terjejas teruk,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau sumbangan van oleh pihak TH itu pasti adalah sedikit sebanyak dapat membantu pertubuhan-pertubuhan amal yang telah terpilih untuk terus melaksanakan kerja-kerja amal.

“Saya berharap van ini akan memberi kemudahan kepada semua penerima ketika menjalankan aktiviti seharian dan semoga ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah kesejahteraan para penghuni,” katanya lagi.

Pada majlis itu, TH menyumbangkan van kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin Dahikmah, Gopeng; Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Warga Miskin, Parit; Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman, Perak; Pusat Jagaan Bengkel Seri Sembilan, Negeri Sembilan dan Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Negeri Sembilan.

Program Mobiliti TH merupakan salah satu daripada program zakat TH dan dilancarkan pada tahun 2016 bertujuan menyumbang kenderaan yang boleh digunakan sebagai van penumpang atau van jenazah.

Program itu diperkenalkan untuk membantu masjid, terutama yang berada di kawasan terpencil, untuk melaksanakan tugas mereka yang berkaitan dengan fardhu kifayah.

Pada tahun ini, penerima program itu telah diperluaskan ke rumah kebajikan persatuan di seluruh negara (rumah anak yatim, rumah orang tua, rumah untuk OKU, dan lain- lain) bagi tujuan pengangkutan dalam menjalankan aktivti harian mereka.

TH pada tahun ini telah meluluskan sumbangan 25 unit van penumpang dengan peruntukan berjumlah RM2.3 juta untuk Program Mobiliti TH 2021 kepada rumah kebajikan/persatuan yang berdaftar di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -