MAIK bantu 700 keluarga Orang Asli

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan bantuan berjumlah RM140,000 kepada 700 ketua isi rumah Orang Asli.

Sumbangan berkenaan membabitkan tiga pos di Gua Musang yang terjejas akibat ancaman harimau baru-baru ini bagi meringankan bebanan mereka yang tidak dapat keluar mencari rezeki.

- Advertisement -

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tiga pos terbabit ialah Pos Bihai, Pos Tendrik dan Pos Hau.

“Setiap ketua isi rumah menerima bantuan bernilai RM200 iaitu RM100 wang tunai, manakala RM100 lagi barangan keperluan makanan bertujuan meringankan beban mereka kerana tidak dapat keluar bekerja,” katanya selepas Majlis Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Tahun 2021 di Grand Renai di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman. Pada majlis sama, 10 warga media termasuk Harakah menerima cenderamata penghargaan daripada MAIK.

Tengku Mohamad Rizam juga berkata, MAIK sentiasa menyalurkan peruntukan bantuan kepada 4,400 penduduk Orang Asli di negeri itu.

Katanya MAIK sentiasa prihatin terhadap golongan terbabit sejak dahulu lagi.

Sebelum ini media melaporkan, seorang Orang Asli suku kaum Temiar, Anek Along, 40-an, maut dibaham harimau di belakang rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai, 7 Januari lalu.

Lebih 2,000 masyarakat Orang Asli di 18 kampung di Pos Bihai, Gua Musang diselubungi ketakutan akibat tiga harimau belang dilapor berkeliaran di kampung itu sejak sebulan lalu sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka. – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -