
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Budaya membuang sampah mengikut jadual penting diamalkan rakyat Kelantan bagi mengelak berlaku longgokan sampah di sekitar tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, longgokan itu menyebabkan pekerja mengambil masa melakukan kerja-kerja pembersihan.
Katanya bagi mengelakkan perkara itu berlaku orang ramai perlu membuang sampah di tong disediakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan bermula jam 5 petang hingga 10 pagi keesokannya.
“Ini bagi mengelak berlaku longgokan sampah sepanjang masa sehingga mengundang bau yang tidak enak.
“Buang sampah ikut masa yang ditetapkan dan jangan melebihi jam 10 pagi. Jika hendak buang juga tunggu selepas jam 5 petang pula,” katanya selepas menghadiri majlis Apresiasi Pasti dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Parlimen Pengkalan Chepa 2022 di sini, semalam.
Dr Izani yang juga Adun Kijang berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai sampah sarap yang sering berlonggok sehingga mengundang bau busuk.
Menurutnya juga terdapat penduduk dilaporkan bertindak membakar tong sampah dipercayai kerana tidak tahan dengan bau busuk.
“Orang ramai tidak boleh merosakkan harta kerajaan dengan membakar tong-tong sampah tersebut kerana ia merupakan satu kesalahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2022











