RM2.5 juta setahun bantu usahawan Kelantan berdikari

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kewujudan KALA Sentral yang menjadi pusat pemasaran produk keluaran usahawan tempatan diharap dapat merancakkan semula ekonomi rakyat kesan penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri komited membantu usahawan kecil dan sederhana untuk mengembangkan lagi perusahaan mereka.

Katanya mereka dibantu kerajaan selepas terpaksa berdepan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara sehingga sekarang.

- Advertisement -

“Pelbagai program berkaitan usahawan diadakan dengan peruntukan sehingga RM2.5 juta setahun untuk Program Usahawan Berdikari.

“Saya yakin dengan adanya KALA Sentral ini, akan memberi input dan peluang yang seluas-luasnya kepada usahawan Kelantan mengembangkan dan meluaskan lagi pasaran perniagaan mereka,” katanya ketika merasmikan KALA Sentral di Dataran Muhammadi hari ini.

Pusat pengumpulan dan pemasaran produk keluaran usahawan tersebut dikendalikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dibuka pada akhir tahun lepas.

Pelbagai produk keluaran usahawan tempatan dipasarkan DI KALA sentral termasuk makanan, pakaian, barangan perhiasan, batu permata, cenderamata dan kraftangan tradisional.

KALA Sentral sehingga sekarang mempamerkan lebih 1,000 produk yang bercirikan Kelantan hasil usaha 200 usahawan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Ab Aziz Yunus sebelum ini berkata, pihaknya berusaha membantu dan menyokong pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu penubuhan KALA Sentral katanya, bertujuan untuk memperkasakan usahawan bumiputera terutamanya dalam bidang pengeluaran serta pembuatan produk berkaitan halal.

“Oleh itu kerajaan negeri memberi tanggungjawab kepada PKINK melalui anak syarikatnya, KALA Sentral Sdn Bhd sebagai sandaran penting untuk memainkan peranan membantu usahawan tempatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2022

- Advertisement -